'Noh perlu henti budaya ugut'

Monday, March 19, 2018

'Noh perlu henti budaya ugut'

'Noh perlu henti budaya ugut'

SHAH ALAM - Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dinasihat berhenti membuat kenyataan berbaur ugutan bertujuan menakutkan rakyat agar tidak mengundi Pakatan Harapan (Harapan).

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, Tan SriNoh perlu menghentikan budaya itu yang dilihat tidak demokratik dan bertanggungjawab kepada rakyat.

“Apa yang saya nampak, Noh dan pimpinan BN sendiri yang tidak sedar bahawa jawatan pemimpin dan Menteri yang disandang mereka pada ketika ini adalah hasil dukungan daripada rakyat terdahulu.

“Mereka telah mensia-siakan harapan yang diberikan rakyat, dan cuba meletak kesalahan itu kepada kerajaan Harapan,” katanya.

Noh sebelum ini menegaskan, orang Melayu perlu diingatkan bahawa kunci kejayaan dan kekuatan bangsa itu adalah disebabkan dasar yang digubal kerajaan sejak merdeka lagi.

Katanya, dasar kerajaan yang digubal sebelum ini berkemungkinan akan lenyap jika rakyat memilih parti yang salah untuk mentadbir kerajaan dalam PRU14 nanti.

Pada perkembangan lain, Shuhaimi berkata, cabaran Noh untuk berdebat dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai isu air negeri ini satu cubaan untuk melindungi isu nasional yang didakwa lebih parah.

"Semua sedia maklum, isu air kerap dibangkitkan ahli parlimen BN dalam dewan rakyat mutakhir ini sehinggakan dewan yang sepatutnya membincangkan masalah di semua bahagian menjadi medan perbahasan hal ehwal Selangor saja, seolah-olah hanya Selangor negeri ada dalam Malaysia.

"Azmin sudah acap kali bahaskan isu air Selangor, khususnya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dengan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

"Menteri mengelak apabila ditanya mengenai hasil dapatan penilai bebas untuk pembiayaan pengambilalihan Splash. Azmin dah banyak kali beritahu, pihaknya memerlukan maklumat itu bagi membolehkan tawaran sebut harga dilakukan," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment