Pengajian percuma di TATIUC
KEMAMAN - Kerajaan negeri menerusi Kolej Universiti TATI (TATIUC) kini menawarkan program pengajian peringkat Asasi Kejuruteraan dan Asasi Teknologi Maklumat secara percuma bukan hanya kepada anak Terengganu, malah kepada seluruh warganegara Malaysia.
Exco Kerajaan Negeri, Dr Ghazali Taib berkata, menerusi langkah proaktif yang diambil pihaknya itu, pelajar tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja dan dapat berjimat.
Katanya, kos pengajian bagi program itu sebelum ini berjumlah hampir RM10,000 untuk setiap seorang pelajar bagi tempoh setahun pengajian.
"Tawaran ini untuk dua sesi pengambilan pelajar baharu bagi program asasi pada April dan Jun nanti.
"Langkah ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk teruskan pengajian peringkat ijazah dan sarjana dengan kos yang sangat rendah," katanya selepas merasmikan program pengantarabangsaan TATIUC, English Preparatory Course (EPC) 2018 di Teluk Kalong, semalam.
Hadir sama Rektor TATIUC, Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim dan wakil Mie University dari Jepun, Prof Dr Masataka Kubo.
TATIUC menjalankan program pengajian di peringkat asasi sejak 2014 dan ia diwujudkan bertujuan untuk membolehkan pelajar menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di mana-mana institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) dalam negara dan luar negara.
Ia merupakan program âfast-trackâ kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan ijazah dalam tempoh lebih singkat tanpa perlu menamatkan pengajian peringkat diploma.
TATIUC mempunyai tiga program peringkat asasi iaitu Asasi Sains, Asasi Kejuruteraan dan Asasi Teknologi Maklumat. Program-program pengajian ini telah mendapat akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).
Sejak 13 tahun lalu, satu-satunya badan penajaan yang membiayai program asasi di seluruh negara adalah Yayasan Terengganu yang hanya melibatkan pelajar-pelajar Terengganu sahaja.
Mengulas lanjut, kata Ghazali, sehubungan itu peluang keemasan itu harus direbut oleh semua pelajar lepasan SPM.
"Pihak kami menyasarkan seramai 500 pelajar akan mendaftar bagi kemasukan April dan 500 bagi pengambilan Jun," katanya.
Calon-calon lepasan SPM dipelawa membuat permohonan kemasukan pelajar baharu sesi 2018/2019 di laman sesawang www.tatiuc.edu.my atau boleh hubungi talian 09-8601130.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment