Pacu pertumbuhan ekonomi Mersing

Saturday, March 24, 2018

Pacu pertumbuhan ekonomi Mersing

Pacu pertumbuhan ekonomi Mersing

SEKTOR pelancongan akan terus memacu pertumbuhan ekonomi di Mersing Johor, yang merupakan sebahagian dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer), diikuti perniagaan tani yang telah dikenal pasti sebagai sektor pertumbuhan baharu bagi daerah ini.

Sektor pelancongan telah menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Mersing sejak sedekad lalu, susulan pelaksanaan projek-projek infrastruktur berimpak tinggi dan strategi pembangunan Hutan Hujan ke Terumbu Karang (Rainforest to Reef - R2R) yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu, sektor pelancongan telah menjadi enjin utama pertumbuhan Mersing dengan menyumbang sebanyak 63 peratus daripada jumlah pelaburan swasta di Mersing sehingga kini.

“Walaupun ia terus menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi yang penting, sektor perniagaan tani dilihat mampu menjadi pemacu pertumbuhan yang seterusnya, terutamanya dalam industri perikanan dan ternakan,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER untuk negeri Johor, yang dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

Issace berkata, antara 2007 hingga Januari 2018, Mersing telah menarik pelaburan swasta bernilai RM1.6 bilion. Pelaburan ini telah mewujudkan sebanyak 1,710 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

Jelasnya, sepanjang sedekad lalu, projek-projek serta program-program inklusif dan berimpak tinggi di bawah strategi pembangunan Hutan Hujan ke Terumbu Karang oleh ECERDC dan Kerajaan Negeri telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan peluang ekonomi bagi penduduk tempatan, sambil memperkukuhkan kedudukan Mersing dan pulau-pulau sekitarnya sebagai salah satu destinasi pelancongan yang paling banyak dikunjungi di negara ini.

“Projek-projek ini termasuk pembangunan Mersing Harbour Centre, Medan Ikan Bakar Endau, naik taraf jalan menuju ke Taman Negara Endau-Rompin, dan pembinaan serta naik taraf kemudahan awam seperti jeti dan laluan pejalan kaki di kepulauan Mersing iaitu Pulau Aur, Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil.

“Pada masa akan datang, ECERDC telah mengenal pasti ekopelancongan di Taman Negara Endau-Rompin, serta pembangunan pelancongan di pulau-pulau Mersing, Tanjung Penyabong dan Tanjung Leman, serta Kampungstay Air Papan, antara lain, sebagai projek utama yang akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Mersing,” katanya.

Jana lebih banyak peluang kerja

Menurut Issace, bersempena Ulang Tahun ECERDC ke-10 pada tahun ini, ECERDC menyasarkan untuk terus melonjakkan pertumbuhan Mersing bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat, terutamanya dalam sektor pelancongan dan perniagaan tani di bawah Pelan Induk ECER 2.0 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Dalam memulakan fasa transformasi sosioekonomi yang seterusnya di Mersing, kami akan memanfaatkan asas kukuh yang telah dibina sepanjang sedekad lalu dengan mengukuhkan kedudukan Mersing sebagai hab pelancongan untuk Johor, yang juga akan disokong oleh peluang pertumbuhan baharu dalam sektor perniagaan tani,” katanya.

“Projek-projek berimpak tinggi seperti Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing dan Lembah Tenusu di Jemaluang akan merangsang transformasi sosioekonomi masyarakat setempat, selaras dengan Bajet Johor 2018 dan aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan sektor perniagaan tani sebagai satu lagi pemacu ekonomi penting dan pelengkap kepada industri pelancongan  yang rancak di Mersing.

“Selain itu, kegiatan perniagaan tani di Mersing juga akan dipelbagaikan dengan menawarkan produk agropelancongan, sejajar dengan peningkatan populariti Mersing sebagai destinasi percutian keluarga dan untuk tujuan pendidikan. Ini pastinya akan menambah tawaran produk pelancongan yang unik di daerah ini untuk pelancong tempatan dan asing,” katanya.

Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing

Pembangunan Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing dijangka meningkatkan lagi industri perikanan di Mersing, yang merupakan aktiviti ekonomi tradisional di daerah ini, dan  mengukuhkan Mersing sebagai sebuah destinasi perikanan penting pada dekad akan datang.

Issace berkata, Taman ini akan dilengkapi dengan infrastruktur yang diperlukan dan perkhidmatan sokongan seperti bilik penyimpanan sejuk beku, kilang ais, serta kemudahan kilang untuk perusahaan kecil sederhana (PKS) bagi pengeluaran bebola ikan, otoshimi, keropok ikan, ikan bilis, dan ikan masin.

"Apabila siap kelak, Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing akan diuruskan menggunakan Model Pengurusan Taman PKS yang akan mengurangkan kos permulaan untuk syarikat PKS yang berminat menempatkan perusahaan mereka di taman tersebut.

"Projek ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang yang terlibat dalam industri perikanan Mersing. Di samping itu, taman ini juga akan meningkatkan kualiti produk selaras dengan keperluan keselamatan makanan dan kebolehkesanan antarabangsa dan pensijilan, termasuk Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), yang mana semua ini akan meningkatkan prospek bagi produk berasaskan ikan yang dieksport dari Mersing," katanya.

Pembangunan Lembah Tenusu di Jemaluang

Selain itu tambahnya, pembangunan Lembah Tenusu di Jemaluang akan menjadi satu lagi pemangkin pertumbuhan yang bakal menyokong aspirasi sektor perniagaan tani untuk industri ternakan dan tenusu.

"Projek ini melibatkan pembangunan sebuah ladang tenusu komersial di kawasan seluas 275 hektar di Sungai Ambat, Jemaluang. Ia juga melibatkan pembinaan sebuah kandang lembu, kawasan memerah susu, pusat pemprosesan susu, makanan ternakan dan lain-lain komponen yang diperlukan untuk membangunkan ladang tenusu yang dilengkapi dengan aktiviti agro-pelancongan. "Pembangunan kemudahan bagi projek ini akan dibina mengikut konsep Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) ECERDC di Pahang. Projek yang dijayakan oleh pelaburan swasta ini dijangka mampu mengeluarkan empat juta liter susu segar menjelang tahun 2021 dan mewujudkan 60 peluang pekerjaan baru untuk Rakyat," katanya.

Lebih penting lagi jelasnya, projek Lembah Tenusu ini juga akan mewujudkan limpahan manfaat bagi petani-petani tempatan di Mersing, di mana para petani terpilih akan dikenal pasti dan dilatih sebagai petani satelit dalam industri pengeluaran susu.

"Usaha ini sekali gus meningkatkan lagi pendapatan mereka. Petani satelit yang baharu juga dijangka diwujudkan, terutamanya dalam kalangan rakyat yang berminat menceburi bidang perniagaan tani sebagai satu cara meningkatkan taraf hidup berikutan peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran ditawarkan melalui projek tersebut.

"Pembangunan petani-petani satelit baharu ini dijangka menghasilkan tambahan 1.5 juta liter susu setiap tahun, sekali gus meningkatkan pengeluaran domestik susu segar dan mengurangkan kebergantungan negara kepada susu import," katanya.

4,788 penduduk Mersing telah dapat manfaat

Dari segi pembangunan modal insan setakat ini, lebih daripada 4,788 penduduk di Mersing telah mendapat manfaat daripada inisiatif di bawah program pembangunan modal insan ECERDC yang inklusif seperti Empower ECER dan entrepreneur ECER.

"Kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan peserta adalah daripada kategori berpendapatan 40 peratus terbawah (B40), yang sebahagian besarnya terlibat dalam program Empower ECER. "Mereka termasuk 2,400 pelajar di bawah program Latihan Akademik Empower ECER yang telah mencatatkan peningkatan 67 peratus dalam prestasi akademik, dan 600 peserta dewasa di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER, dengan 80 peratus daripada mereka berjaya menjadi usahawan selepas menamatkan program.

"Sementara itu, seramai 355 peserta program entrepreneur ECER telah mendapat pembiayaan perniagaan daripada Maybank atau Agrobank serta pembangunan produk daripada SIRIM untuk mengembangkan perniagaan mereka. Secara purata, usahawan-usahawan ini telah mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 30 peratus. - Bernama
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment