Murninya hati Pak Ya

Thursday, March 1, 2018

Murninya hati Pak Ya

Murninya hati Pak Ya

KUALA PILAH - Di sebalik kejayaan setiap individu, tersemat semangat luar biasa dan keikhlasan tanpa mengharapkan balasan dalam merealisasikan impian mereka.

Zakaria Mat Yusof, 58, membuktikan walaupun dirinya Orang Kelainan Upaya (OKU), dia berjaya membuka kedai makan dan sanggup turun ke dalam anak sungai Juasseh Hilir bagi melaksanakan kerja murni bagi tujuan pembersihan.

Kedudukan anak sungai itu bersebelahan dengan kedai makannya dan menjadi rutin harian membersihkan anak sungai itu serta persekitaran kedainya.

Bekas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganggap tugas yang dilakukan itu sekadar suka-suka demi memelihara alam semula jadi daripada tercemar selain mengutamakan kebersihan.

Lebih mesra dipanggil Pak Ya, keikhlasannya melakukan tugas itu saban hari secara tidak langsung telah mempopularkan kedainya.

“Kalau tidak lakukannya, tidur tak lena, mula gelisah. Jadi, sebelum buka kedai jam enam pagi, Pak Ya akan bersihkan lantai agar berkilat dan air sungai jernih tanpa ada dedaun kering. Kalau orang nak mandi pun boleh.

“Pak Ya pun tidak sangka perbuatan membersihkan sungai dan kedai menjadi buah mulut orang ramai,” katanya.

Zakaria mengikut kata hatinya untuk terus berbakti tanpa menghiraukan tanggapan negatif masyarakat dengan mengutamakan kebersihan dan pelanggannya.

“Persekitaran kedai perlu bersih, barulah pelanggan datang dan bisnes pun maju. Kalau kotor, siapa pun tak datang.

“Sejak berniaga di sini, belum pernah ada pihak pejabat kesihatan melakukan pemeriksaan kerana kedai ini bebas daripada kekotoran.

“Walaupun terpaksa jalan dalam keadaan tempang akibat kemalangan dulu dan telah lakukan pembedahan sebanyak lapan kali di bahagian kaki kiri, ia tidak menghalang untuk Pak Ya meneruskan kerja ini,” katanya.

Katanya, pembersihan anak sungai itu bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik selain mengelakkan berlakunya banjir kilat di kampung ini.

“Kalau aliran air tersekat dek daun-daun kering pun boleh berlaku banjir, selain mengundang bau busuk hingga mendatangkan rasa tidak selesa kepada pelanggan.

“Justeru, demi memelihara kebersihan, Pak Ya tidak kisah lakukan kerja ini malah gembira serta bersyukur dilimpahi rezeki,” katanya.

Mula berniaga sejak 2013 atas bantuan JKM, kini Zakaria mampu berdikari bagi menyara keluarganya.

Selain itu, kesegaran air kelapa dijualnya turut mendapat sambutan menggalakkan setiap hari.

“Lazimnya buah kelapa berjaya dijual pada kuantiti 30 biji sehingga 50 biji sehari. Kalau cuaca panas, permintaan akan tinggi.

“Syukur semuanya rezeki dari pada ALLAH dan Pak Ya akan sentiasa jaga kebersihan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment