Kena RM4,000 alih wang dalam akaun
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengalihkan wang berjumlah RM9,798.38 milik seorang perunding teknologi maklumat, tahun lalu.
Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairil Najmi Ahmad Puzi, 34, selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curang melakukan kesalahan itu ke atas wang milik Cheong Fook Ming, 38, antara jam 12.01 pagi hingga 11.59 malam di CIMB cawangan Sentul Raya di sini, pada 5 Julai 2017.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya namun Noorelynna memohon memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment