Datuk Seri disambung reman
PUTRAJAYA: Tempoh reman seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dilanjutkan lima hari lagi bagi membantu siasatan kes menerima wang RM19 juta untuk menutup siasatan projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.
Perintah lanjutan reman bermula esok sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, suspek berusia 37 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret jam 9.25 pagi dengan berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bergari.
Sebelum ini, suspek ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM di sini, pada 27 Februari lalu dan ditahan reman enam hari bermula 28 Februari lalu hingga hari ini.
Suspek dipercayai menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.
Pihak syarikat berkenaan dipercayai membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.
Sabtu lalu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM3 juta juga bagi menutup siasatan projek sama.
Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment