Bomba periksa 30 bangunan kediaman bertingkat
BANDARAYA MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka akan menjalankan pemeriksaan ke atas 30 bangunan kediaman bertingkat mulai pertengahan bulan ini bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran tidak diabaikan.
Pengarahnya, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, ini susulan satu taklimat dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta pengurusan pusat tahfiz yang diadakan baru-baru ini.
Menurut beliau, tujuan tindakan ini diadakan adalah bagi memberi kesedaran kepada pihak terbabit dalam memastikan premis mereka itu selamat untuk diduduki.
Katanya, ini adalah hasil kajian yang dijalankan jabatan, walaupun setiap bangunan mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), namun mereka cenderung kepada mengabaikan penyelenggaraan sistem keselamatan yang dipasang di bangunan berkenaan.
"Tiada gunanya kita mempunyai sistem yang baik tetapi ia tidak diselenggarakan sehingga gagal berfungsi apabila diperlukan.
"Sebab itulah kita akan menjalankan pemeriksaan ke atas 30 bangunan kediaman bertingkat seperti apartmen dan sebagainya bagi memastikan apa yang berlaku di Grenfell Tower, London, tidak berlaku di sini," katanya kepada media selepas menerima kunjungan kerja Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman, ke Ibu Pejabat Bomba Melaka Bukit Katil hari ini.
Semasa kunjungan berkenaan, Ismail, yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya Bomba Kehormat, turut menyampaikan Sijil Pentaulihan Bomba Komuniti, Sijil Teman Pili Bomba serta bantuan persekolahan kepada anggota bomba.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment