Badang Banjar kupas kelapa guna gigi

Sunday, March 4, 2018

Badang Banjar kupas kelapa guna gigi

Badang Banjar kupas kelapa guna gigi

BAGAN SERAI: Kupas kelapa guna gigi dan tarik traktor seberat lima tan antara halangan paling mencabar dilalui Mohamad Zaki Umar, 28, sebelum dinobat sebagai Badang Banjar dalam Karnival Sukan Bendang, Pencarian Badang & Srikandi Banjar 2018 di sini, hari ini.

Program anjuran Kelab Kulaan Malaysia (KKM) di kawasan sawah padi Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, menyaksikan pemuda dari Kedah yang bukan berbangsa Banjar itu berjaya menewaskan lima peserta akhir dengan menamatkan lima halangan sukar.

Mohamad Zaki berkata, beliau terhibur dengan karnival yang diadakan dan langsung tidak menjangka akan dinobat sebagai Badang Banjar.

"Bagi acara mengupas kelapa, sebenarnya semua peserta disediakan parang, namun saya memilih mengupasnya menggunakan gigi berikutan sudah biasa dan pernah memasuki pertandingan seumpamanya dan menjadi juara pada 2014," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Gelaran Srikandi Banjar pula dianugerahkan kepada Napisah Saad, 38, dari Taman Seri Pongsu di sini, selepas menewaskan 10 peserta lain.

Napisah berkata, ini pertama kali beliau memasuki pertandingan itu dan tidak meletak sebarang harapan untuk menang kerana bukan orang Banjar.

"Saya memasuki pertandingan ini sekadar suka-suka kerana ingin merasai pengalaman sebagai orang kampung, tidak sangka pula saya berjaya menempuh lima halangan yang disediakan seterusnya dinobat sebagai Srikandi Banjar.

"Antara halangan paling sukar adalah menangkap belut dan ikan keli dalam selut kerana geli serta licin, namun saya berjaya ketepikan perasaan itu dan melakukannya," katanya.

Karnival itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan turut dihadiri Orang Besar Jajahan Kerian, Datuk Meor Redwan Mahyuddin serta Pengerusi KKM, Kamarullaffie Ahmad.

Kamarullaffie berkata, pihaknya kagum dengan sambutan yang diterima dengan lebih 4,000 pengunjung hadir menyaksikan karnival itu dan pihaknya merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment