NSTP-Media Prima bantu mangsa banjir
PASIR MAS: Tabung bencana NSTP-Media Prima menyerahkan bantuan banjir kepada 300 keluarga dari 10 kampung di sini, yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Arab (Khairiah) Banggol Setol.
Penyerahan bantuan barangan keperluan seperti beras, minyak masak, air mineral dan serbuk pencuci itu disampaikan Eksekutif Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Mohamad Faris Effendy Md Salim.
Mohamad Faris Effendy berkata, siri bantuan menerusi tabung bencana itu diteruskan di Kelantan apabila sebelum ini bantuan yang sama turut disampaikan ke Pulau Pinang bulan lalu.
Katanya, sumbangan yang diberikan itu adalah hasil kutipan Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang disalurkan oleh orang ramai bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.
"Penyerahan bantuan hari ini adalah siri permulaan bantuan di Kelantan selepas mendapati negeri ini dilanda banjir. Sebagai permulaan, seramai 300 keluarga menerima bantuan termasuk 204 yang tinggal di PPS, manakala selebihnya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Sementara itu, mangsa banjir, Junuh Abdullah, 64, dari Kampung Lubuk Nibong, bersyukur dengan bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak termasuk Media Prima.
"Bantuan yang diterima tidak putus. Hari ini, pihak Media Prima pula datang menyalurkan bantuan keperluan harian. Saya bersyukur dengan bantuan dan ia sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir," katanya.
Seramai 1,448 mangsa banjir ditempatkan di PPS SMA Qariah Banggol Setol membabitkan 10 kampung termasuk Mengkirim, Chenerai, Jeram Perdah, Bukit Lata dan Lumpur.
Bagaimanapun, kebanyakan mereka sudah pun pulang ke rumah dan kini tinggal 204 keluarga yang masih tinggal di PPS terbabit.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment