Wan Nawawi tak mahu warga Kuala Terengganu rugi

Tuesday, May 1, 2018

Wan Nawawi tak mahu warga Kuala Terengganu rugi

Wan Nawawi tak mahu warga Kuala Terengganu rugi

KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Nawawi Ismail, tidak mahu warga bandar raya ini terus kerugian apabila memilih calon pembangkang sebagai wakil mereka.

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu berkata, ini kerana penduduk di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sepatutnya mampu menikmati manfaat pelbagai manfaat pembangunan dan projek berskala kecil daripada peruntukan disalurkan kerajaan kepada Ahli Parlimen BN setiap tahun.

Justeru beliau berkata, pengundi di Parlimen Kuala Terengganu tidak seharusnya terus melakukan kesilapan memilih calon pembangkang yang tidak mampu membawa sebarang pembangunan dan manfaat kerana pelbagai kekangan.

"Setiap tahun Ahli Parlimen BN akan menerima peruntukan RM6 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek berskala kecil dan program untuk manfaat rakyat di setiap kawasan.

"Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula setiap ADUN akan menerima peruntukan RM10 juta setahun. Jadi bayangkan betapa ruginya kita tidak dapat melaksanakan program dan projek untuk rakyat.

"Justeru, pengundi perlu membuat pilihan bijak dan tepat untuk memilih calon berwibawa yang bukan hanya mampu bercakap tanpa berbuat apa-apa, tetapi juga berkhidmat dan membawa pembangunan fizikal untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata, peruntukan pembangunan disalurkan kerajaan kepada setiap Ahli Parlimen BN itu bukannya 'duit poket' untuk kegunaan peribadi, sebaliknya untuk digunakan melaksanakan pelbagai projek berskala kecil kepada rakyat.

"Jika diberi peluang pada PRU-14 Sabtu depan, saya akan gunakan sepenuhnya peruntukan pembangunan untuk menyediakan pelbagai kemudahan untuk manfaat rakyat," katanya selepas majlis sua mesra dengan pengundi di Pantai Batu Buruk, di sini, pagi ini.

Pada PRU-14 Rabu depan, Wan Nawawi yang juga bekas Setiausaha Kerajaan negeri akan bertanding untuk merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu yang kini dipegang pembangkang menerusi Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Selain Wan Nawawi dan Raja Kamarul Bahrin, PAS turut meletakkan calon iaitu Ahmad Amzad Hashim pada pertandingan tiga penjuru iaitu BN, Parti Keadilan Rakyat dan PAS.

Ketika ini kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan empat DUN iaitu Wakaf Mempelam; Batu Buruk; Bandar dan Ladang dikuasai pembangkang yang memenangi kerusi itu pada PRU-13 lalu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment