Wahid Endut tidak bertanding

Sunday, December 17, 2017

Wahid Endut tidak bertanding

Wahid Endut tidak bertanding

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) PAS Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut tidak mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 1990 pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mohd Abdul Wahid, 60, dari Kampung Seberang Baruh Kiri, di sini, menyuarakan hasrat tidak bertanding di kerusi DUN atau Parlimen pada PRU kepada pucuk pimpinan parti di peringkat negeri sebaik berakhirnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lalu.

Dia yang juga bekas EXCO kerajaan negeri dan diberi tanggungjawab sebagai portfolio Pembangunan Usahawan dan Belia pada 1991 hingga 2004 ketika PAS menerajui kerajaan, akan menyatakan hasrat itu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Walaupun tidak bertanding, tetapi sokongan kepada parti akan diteruskan dan akan membantu calon yang diketengahkan parti untuk bertanding bagi mempertahankan kubu kuat PAS di DUN Wakaf Mempelam.

"Saya juga sudah mengenal pasti calon mewakili parti untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Wakaf Mempelam dan akan menyerahkan nama kepada pucuk pimpinan tertinggi PAS," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Abdul Wahid yang dilahirkan pada 29 September 1957, di Kampung Pulau Rusa, di sini, antara wakil rakyat PAS paling lama dan pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu selepas memenangi kerusi pada pilihan raya kecil pada 2009.

"Walaupun tidak bertanding, tetapi saya berjanji akan terus bersama PAS dan tidak akan lari untuk meneruskan perjuangan menegakkan agama, bangsa serta tanah air," katanya.

Dalam perkembangan lain, pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang juga ADUN Bandar, Azan Ismail, tetap untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

"Sebagai pengerusi dan wakil tunggal PKR di DUN Bandar, saya tidak akan mengundur diri untuk bertanding mempertahankan kerusi walaupun saya dimaklumkan akan berlaku pertandingan tiga penjuru iaitu PKR, PAS dan Barisan Nasional (BN)," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment