Tak hirau sakit nikahkan pengantin

Tuesday, December 5, 2017

Tak hirau sakit nikahkan pengantin

Tak hirau sakit nikahkan pengantin

GEMAS - “Saya ada tugas nikahkah orang...,” itulah yang diluahkan seorang imam apabila doktor mencadangkan kepadanya supaya ditahan di wad Hospital Tampin selepas terjatuh dari motosikal di hadapan Masjid Al-Ansar Jelai 4, di sini, 23 November lalu.

Imam 1 Masjid Al-Ansar Jelai 4, Md Ngisum A Manan, 69, berkata, dia hanya teringatkan tanggungjawabnya walaupun sudah dimaklumkan oleh doktor bahawa ibu jari kaki kanannya telah patah dan perlu disimen.

Menurutnya, tugasnya terhadap ahli kariah lebih diutamakan memandangkan ia adalah amanah yang telah diberikan kepadanya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya terjatuh dari motosikal pada petang Khamis ketika dalam perjalanan ke masjid betul-betul di hadapan persimpangan masuk ke masjid. Masa tu, saya agak kelam-kabut sedikit kerana bergegas ke masjid setelah terdengar azan dari sebuah majlis.

“Masa mahu membelok masuk ke masjid ada sebuah motosikal. Saya terkejut dan terus tekan brek hadapan. Masa tu hujan renyai-renyai, saya jatuh dan kaki dihempap motosikal sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Md Ngisum berkata, malam selepas kejadian, anaknya membawanya ke Hospital Tampin bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana bimbangkan keadaan kesihatannya.

Katanya, dia kemudian menjalani imbasan X-ray dan hasil keputusan menunjukkan ibu jari kaki kanannya telah patah.

“Kata doktor kaki saya kena simen dan saya perlu tinggal di wad hospital, tapi saya tolak dan katakan pada doktor saya ada tugas nikahkan orang esok malam," katanya.

Menurutnya, dia akhirnya pulang ke rumah bersama anaknya, manakala bahagian kakinya yang cedera dianduh dengan kain buat sementara waktu.

“Saya lega bila dapat tunaikan tanggungjawab nikahkan pengantin baru. Bulan 12 ini memang hampir setiap minggu ada sahaja yang kahwin,” katanya yang sudah menikahkan lebih 300 pasangan.

Md Ngisum berkata, walaupun kini kakinya sudah disimen, dia tetap akan melaksanakan tugas seperti biasa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment