Pemuda lumpuh selepas jatuh bangunan

Tuesday, December 5, 2017

Pemuda lumpuh selepas jatuh bangunan

Pemuda lumpuh selepas jatuh bangunan

KOTA KINABALU: Insiden terjatuh dari tingkat dua sebuah rumah pangsa pada tahun 2010 mengubah kehidupan seorang pemuda dari Kampung Muhibbah Baru, Manggatal, dekat sini.

Sonny Mosirun, 27, yang sebelum ini mampu bergerak aktif seperti insan biasa kini hanya terlantar di katil dan bergantung kepada bantuan serta belas ihsan orang lain untuk meneruskan kehidupan.

Ia berikutan keadaan fizikalnya lumpuh dipercayai disebabkan kerosakan saraf selepas mengalami kecederaan serius termasuk retak tempurung kepala sekali gus menukar status dirinya kepada orang kurang upaya (OKU).

Kecederaan akibat insiden itu turut menyebabkan kepala anak sulung daripada tiga beradik itu berlekuk, selain saiz fizikal menyusut.

Ketika ditemui BH baru-baru ini, Sonny berkata insiden itu terjadi ketika dia cuba memanjat memasuki rumah menerusi tingkap di tingkat dua kerana kehilangan kunci rumah.


Rakan Sonny Mosirun, sama-sama meraikan hari ulang tahunnya yang ke-27 di rumahnya di Kampung Muhibbah Baru, Manggatal, Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto oleh Rafiqah Dahali

"Sebelum kejadian itu, saya baru sahaja pulang dari latihan kerja pada jam 2 pagi. Sampai saja di hadapan rumah, saya menyedari kunci rumah tiada dalam simpanan saya.'

"Saya juga gagal menghubungi rakan serumah untuk membantu membukakan pintu kerana semuanya sudah tidur lalu saya memanjat tepi bangunan untuk masuk melalui tingkap tetapi saya terjatuh.

"Saya berasa sakit sebelum tidak sedarkan diri. Menurut ibu, mujur ada seorang polis menjumpai saya dan terus hantar saya ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2)," katanya.

Ibu Sonny, Sabit Balunting, 62, berkata selepas insiden itu, Sonny hanya mampu berbaring di katil dan dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya itu sepenuh masa.

Katanya, keluarganya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan sebanyak RM300 sebulan selain sumbangan orang ramai.

"Sebelum ini juga, kami sering berpindah-randah. Kemudian kami mendirikan rumah kecil di atas tapak tanah kepunyaan gereja kampung ini atas kebenaran dan ihsan pihak terbabit.

"Kami mencari bahan seperti tiang kayu dan papan terbuang untuk membina rumah. Kami hanya meletakkan surat khabar sebagai alas rumah," katanya.

Katanya, dia bernasib baik keadaan hidup keluarganya mendapat perhatian Kelab Rotary Teluk Likas yang mengambil inisiatif menyiap dan menyediakan kelengkapan rumah mereka.

"Dua tahun lalu, Kelab Rotary Teluk Likas membantu membeli zink, cat rumah dan beberapa kelengkapan seperti tilam serta almari. Ada juga keperluan lain yang diberikan atas ihsan orang ramai," katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Sonny dan keluarganya boleh menghubungi ibunya, Sabit di talian 013-8692610.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment