Rakyat sering dimomok dengan nostalgia dongeng
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia seringkali dimomok-momokkan dengan pelbagai nostalgia dongeng khususnya semasa zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata nostalgia-nostalgia dogeng tersebut direka hanya demi kemenangan politik pihak tertentu malah turut dapat mengorbankan masa depan generasi akan datang.
"Bahayanya adalah apabila kita dijamu nostalgia yang diubah, ditokok tambah, sehingga lebih sudu dari kuah, nostalgia mimpi di siang hari, tersasar jauh dari realiti, memori yang sengaja diolah semula supaya menyimpang dari kebenaran," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sewaktu Perhimpunan Agung Umno (PAU2017), hari ini.
Di samping itu, Khairy yang juga merupakan ahli Parlimen Rembau menjelaskan bahawa nostalgia dongeng itu dilihat agak merbahaya, malah dalam konteks politik ia boleh membawa bencana.
Menurut beliau, ini adalah kerana masyarakat boleh terbawa-bawa dengan perkara bukan realiti tetapi satu fatamorgana sejarah yang mengaburi mata orang ramai.
"Nostalgia dongeng ini perlu ditangkis dan ditentang kerana ia memberikan gambaran seolah-olah keadaan yang terdahulu lebih baik daripada sekarang," katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut membangkitkan mengenai perjanjian berat sebelah yang diamalkan oleh pimpinan sebelum ini di mana kesannya turut dirasai sehingga kini.
Ujar beliau, terdapat banyak syarikat besar sebelum ini yang hampir gulung tikar telah diselamatkan oleh kerajaan dengan menggunakan wang rakyat sebagai langkah penyelesaian.
"Sebagai contoh, Konsortium Perkapalan Berhad milik Mirzan (Mahathir), bila dilanda krisis, Petronas melalui MISC yang selamatkan. RM1.7 bilion duit siapa? Duit kita, duit rakyat juga," katanya.
Oleh sebab itu, beliau memaklumkan supaya semua rekod lama seharusnya dikaji semula supaya sejarah lalu boleh difahami oleh pengundi muda pada hari ini.
"Ini agar pengundi muda tidak begitu mudah membuat 'logical reasoning' atau penaakulan mantik," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment