'Wajah mak di segenap penjuru dewan'
KUALA LUMPUR: "Bukan mudah untuk kami datang sebab di mana-mana dalam dewan ini teringat mak".
Datin Nur Sharmila Shaheen menahan sebak ketika tampil menerima Anugerah Ibu Terbaik Bangsa bagi pihak ibunya, Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid, pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Anugerah disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Nur Sharmila Shaheen, 37, yang ditemani dua adiknya berkata, suasana di dewan itu mencetuskan pelbagai kenangan terhadap Allahyarham ibu mereka.
Katanya, mereka sekeluarga terharu dan berterima kasih atas penghargaan yang diberi buat Maznah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Jerlun, Kedah.
"Kami akan meneruskan kesinambungan arwah mak dalam memperjuangkan UMNO dan perniagaan.
"Mak selalu pesan, walau apa pun berlaku, jangan lupa tolong orang, terutama orang kampungnya," katanya.
Maznah, 62, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 4 Oktober lalu, selepas mengalami komplikasi injap jantung.
Terdahulu, turut menerima anugerah itu adalah waris kepada Ketua Wanita UMNO Kuala Krau, Pahang, Allahyarham Senator Norahan Abu Bakar dan Ketua Wanita UMNO Muar, Allahyarham Ramlah Ismail.
Najib turut menyampaikan Anugerah Ibu Terbaik Bangsa peringkat kebangsaan kepada bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail.
Setiap penerima anugerah menerima sumbangan RM10,000 berserta sijil penghargaan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment