Perlaksanaan VEP ditangguhkan

Sunday, December 17, 2017

Perlaksanaan VEP ditangguhkan

Perlaksanaan VEP ditangguhkan

KLUANG - Caj pelaksanaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang sebelum ini dijadualkan akan bermula pada Januari tahun depan, ditangguhkan sehingga perincian mengenai penyeragaman peraturan berhubung kemasukan kenderaan asing ke Malaysia-Singapura dan Malaysia-Thailand dimuktamadkan.

Menteri Pengangkutan,  Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beberapa perkara perlu diperincikan dan ianya memerlukan sedikit masa bagi penyeragaman peraturan sebelum caj berkenaan mula dilaksanakan.

Menurutnya, apabila ia selesai dimuktamadkan, semua pintu masuk negara termasuk di Singapura dan Thailand akan dilaksanakan VEP.

"VEP masih memerlukan sedikit masa kerana kita mahu pelaksanaan ini (VEP) synchronize di selatan dan utara.

"Kita masih memerlukan sedikit lagi masa memperincikan penyeragaman peraturan berhubung kemasukan kenderaan asing di pintu masuk negara di Singapura dan Thailand sebelum ia dilaksanakan.

"Kita masih dalam usaha memastikan sempadan kita mempunyai sistem yang selari. Kita tidak mahu VEP hanya di laluan ke Singapura tetapi tidak dilaksana di laluan ke Thailand.

"Bagaimanapun, kita tetap yakin akan melaksanakan VEP di semua pintu masuk negara awal tahun hadapan juga selepas beberapa perkara dimuktamadkan sepenuhnya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Presiden MCA bersama masyarakat Paloh, dekat sini,  hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA,  Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bulan lalu, Tiong Lai yang juga Presiden MCA dilaporkan berkata, pelaksanaan VEP akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan.

Sebelum ini, Singapura juga bercadang mengenakan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) berjumlah $35 (RM109.77) sehari tidak termasuk S$6.50 (RM20) yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu kepada kenderaan asing yang memasuki republik itu.

Malaysia sudah mengenakan caj RC sebanyak RM20 kepada pemilik kenderaan asing yang memasuki Johor sejak 1 November tahun lalu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment