Kini `Iman' pula sakit
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/18PUNTUNG.transformed.jpg)
KOTA KINABALU: Selepas kematian Puntung, kira-kira enam bulan lalu, badak sumbu Sumatera terakhir, turut mengalami masalah kesihatan yang serius.
Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata badak sumbu betina yang dikenali sebagai Iman itu mempunyai tumor dalam rahimnya (uterus).
"Lazimnya, ini boleh dirawat dengan ubat. Bagaimanapun, Iman kini enggan meninggalkan kawasannya berkubang dan tak mahu makan.
"Keadaan itu menyebabkan kita sukar untuk memberi rawatan seperti biasa," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Augustine berkata, pendarahan daripada uterusnya itu bermula sejak tiga hari lalu.
"Dipercayai satu tumor yang lebih besar mungkin pecah dan menyebabkannya sakit serta berlaku pendarahan.
"Kedua-dua veterinar dari Borneo Rhino Alliance (BORA) dan penjaga kini memantau Iman. Kami berharap yang terbaik kepada Iman," katanya.
Iman adalah badak sumbu betina yang terakhir di negara ini dan ditangkap di Lembah Danum sebelum dihantar ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu pada Mac 2014.
Sementara itu, badak sumbu betina, Puntung, dimatikan pada 4 Jun lalu selepas mengalami kanser kulit.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment