Menang besar PRU matlamat tiga sayap

Tuesday, December 5, 2017

Menang besar PRU matlamat tiga sayap

Menang besar PRU matlamat tiga sayap

KUALA LUMPUR: Tiga sayap UMNO berikrar menggalas dan melaksanakan amanah serta tugas untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain memperhebat gerak kerja di setiap peringkat ke arah memenangi PRU, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri juga akur mengenai keperluan menjaga perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan ahli parti.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pergerakan itu berikrar akan bekerja hingga fasa terakhir PRU14.

Katanya, pada masa sama Wanita UMNO mengambil tugas yang lebih bertanggungjawab untuk memastikan kemenangan besar parti.

"Wanita UMNO sudah bekerja selepas seminggu PRU ke-13 dan kita menjadi penghubung antara rakyat dan parti. Kita mendekati rakyat dan menjadi wakil parti di akar umbi serta jadi wakil rakyat untuk mengenengahkan isu mereka.

"Terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menghargai jentera kami. Kami mengambil serius kerja ini dan kita akan tingkatkan lagi kerja di akar umbi," katanya.

Beliau mengulas ucapan perasmian Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, malam ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pula berkata taklimat tertutup oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memberi rangsangan kuat kepada sayap pemuda untuk melipatgandakan gerak kerja di semua peringkat.

"Naib Presiden (UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga sudah memberi tugasan kepada sayap dan ia akan dilaksana secepat mungkin dan tidak ada usaha untuk melengah-lengahkan tindakan kita.

"Tugasan kita sudah ada. Kita ada 1.3 juta pengundi muda Melayu. Ini yang menjadi fokus pemuda UMNO," katanya.

Mengulas mesej Presiden UMNO petang tadi untuk beri peluang kepada calon muka baru diketengah dalam Pilihan Raya Umum akan datang, beliau menyifatkan ia satu petanda positif.

"Itu satu petanda yang baik iaitu apabila daripada pucuk pimpinan parti menyatakan bahawa kita perlu bersedia untuk melihat lebih ramai calon baru yang tidak semestinya orang muda diketengahkan. Kita harus terima secara terbuka," katanya.

Bagi Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, prinsip walak demi mengekalkan perpaduan dalam parti akan terus dijadikan panduan supaya setiap gerak kerja jentera dilaksana secara seiring.

Katanya, perkara itu penting kerana pergeseran dalaman angkara kepentingan peribadi hanya mengundang kegagalan dan kerugian kepada UMNO untuk menarik sokongan pengundi.

"Ketepikan agenda peribadi kerana semua tahu bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang ini amat penting dan mempunyai impak besar kepada kelangsungan UMNO.

"Sekarang kita tidak bekerja sebagai Puteri, Pemuda atau Wanita, sebaliknya setiap usaha perlu berlandaskan 'nafas' keluarga besar UMNO.

"Selain itu, kita perlu bijak mencatur strategi susulan kecelaruan pembangkang ketika ini yang semakin hari bertindak di luar jangkaan dengan melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas demi mengelirukan rakyat.

"Setiap dakwaan ini perlu dijawab kerana rakyat perlu tahu kebenaran di sebalik tuduhan yang saban hari meracuni minda mereka," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment