Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas meriah

MELAKA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama lebih 10,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Krismas 2017 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, malam ini.
Timbalan Perdana Menteri yang tiba pada jam 9.15 malam, menyertai pengunjung yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan pelancong luar negara untuk meraikan sambutan yang melambangkan keunikan sambutan perayaan di negara ini.
Sambutan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan Melaka itu dimulakan seawal jam 10.30 pagi dengan persembahan nyanyian, instrumental, tarian kebudayaan, pertandingan Krismas Idol dan fesyen kitar semula.
Acara turut diwarnai persembahan pentas oleh penyanyi Datuk David Arumugam, Dewi Liana, Hael Husaini, Dasha Logan, Koir Permata Seni, Kumpulan Drumline Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta persembahan gitar akustik dan tarian dari Komuniti Kampung Portugis.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; EXCO Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan EXCO kerajaan negeri.
Penganjuran MRTM Krismas 2017 Peringkat Kebangsaan adalah sejajar misi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia, selain membina jati diri bangsa berteras seni, budaya dan warisan negara.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment