'Jangan main campak Wanita'

Wednesday, December 6, 2017

'Jangan main campak Wanita'

'Jangan main campak Wanita'

KUALA LUMPUR: "Jangan kerana nak capai (kuota) 30 peratus ini, kita main campak (calon) Wanita di tempat tidak selamat."

Nada keras Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, itu ditujukan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai peringatan supaya misi mengangkat martabat golongan ibu di pentas politik serta peringkat pembuat dasar tidak dilaksana ibarat 'melepaskan batuk di tangga'.

Beliau sebaliknya mahu penentuan tempat bertanding untuk calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibuat bersandarkan beberapa faktor penting dan pertimbangan sewajarnya.

"Bila jadi calon, kita tak kira sama ada wanita, lelaki, tua atau muda, sebaliknya pertimbangan ini mengambil kira banyak faktor penting.

"Calon lelaki letak tempat tak selamat pun belum tentu boleh menang, justeru saya ingatkan pihak berkuasa (pucuk pimpinan tertinggi parti) supaya tidak kambing hitamkan wanita.

"Bagaimanapun, saya percaya ini tidak akan berlaku, cuma ia sebagai peringatan kerana kita mahu calon wanita diletakkan di tempat sewajarnya," katanya pada sidang media, hari ini.

Shahrizat menegaskan, calon Wanita UMNO bersedia diletak di kerusi ditandingi pemimpin utama pembangkang, asalkan tidak dilakukan secara semberono.

"Kami sedia menggempur kubu 'top gun' (pemimpin utama pembangkang) seperti Nurul Izzah (Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai), tetapi jangan jadikan wanita sebagai mangsa dengan campak di kawasan hitam," katanya.

Shahrizat menjelaskan, Wanita UMNO sudah menyerahkan senarai calon kepada pucuk pimpinan supaya golongan itu dipilih bertanding di lebih 30 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada PRU-14.

Katanya, dokumen itu sudah melalui beberapa saringan daripada akar umbi, termasuk kepemimpinan Wanita di peringkat cawangan dan bahagian, selain Badan Perhubungan UMNO negeri.

"Betul, kita nak ketengahkan calon muda pada PRU-14, tetapi jangan ingat Wanita ketandusan individu yang memenuhi kriteria itu.

"Contohnya, 73 Ketua Wanita UMNO Bahagian adalah golongan muda dan berpendidikan tinggi, justeru persepsi kita ini semua orang tua saja adalah tidak betul.

"Dalam Wanita UMNO, tidak semuanya tua... walaupun tua, kami 'young at heart' (berjiwa muda). Dunia politik, usia bukan segala-galanya, lihat Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) dan Tun M (Dr Mahathir Mohamad)," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment