Kerusi Cameron Highlands bukan agenda Rabu ini

Wednesday, December 27, 2017

Kerusi Cameron Highlands bukan agenda Rabu ini

Kerusi Cameron Highlands bukan agenda Rabu ini

KUALA LUMPUR: Kontroversi parti mana akan mewakili Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU14) tidak akan dibincangkan pada Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), Rabu depan.

Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP), Tan Sri Dr M Kayveas, berkata pihaknya percaya isu itu tidak akan dibincangkan secara terbuka di peringkat tertinggi kerana ia hanya membabitkan perebutan antara dua parti komponen.

"Isu pertindihan kerusi Cameron Highlands, kalau dibincangkan pun secara tertutup antara MyPPP dan MIC dengan BN.

"Saya rasa tidak akan ada rundingan atau mesyuarat lanjut. Biar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, buat keputusan calon langsung yang layak bertanding di Cameron Highlands," katanya kepada media, di sini.

Beliau menghadiri Rumah Terbuka Hari Krismas anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr M Loga Bala.

Kayveas berkata, pihaknya menyokong penuh kaedah 'calon langsung' yang mengetengahkan calon bekerja di peringkat akar umbi diguna pakai untuk menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen.

Namun, Kayveas berkata, beliau yakin tiada parti komponen lain boleh menang besar di Cameron Highlands, setakat ini.

"MyPPP boleh menang majoriti di kawasan itu. Kita sudah bertemu 28,000 pengundi lama dan 5,000 pengundi baharu, sejak tiga tahun lalu.

"Mereka semua adalah penyokong kuat MyPPP," katanya sambil menambah MyPPP akan terus mengatur pelbagai program, termasuk membina kubu kuat MyPPP di kawasan berkenaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment