Kedai kopi 'terapung' tarik pengunjung
TUMPAT: Ketika sebahagian besar penduduk Kampung Teluk Jering berpindah ke pusat pemindahan sementara, seorang peniaga masih tenang melayan pelanggan di kedai kopinya.
Walaupun banjir sedalam kira-kira 0.3 meter, pelanggan tetap memenuhi kedai kopi yang beroperasi sejak 17 tahun lalu itu, seolah-olah tiada rasa gusar dengan air yang memenuhi sesetengah rumah di kampung itu.
Pemilik kedai berkenaan, Azlina Abdullah, 45, berkata sejak kedai yang turut menjual masakan panas itu dibuka, premisnya tidak pernah ditutup.
"Kedai ini juga menjadi lokasi utama untuk operasi pemindahan kerana penduduk yang ingin berpindah akan berkumpul di sini.
"Begitu juga dengan urusan memberi bantuan. Mana-mana pihak, sama ada agensi atau individu serta badan bukan kerajaan (NGO) akan singgah di sini sebelum meneruskan perjalanan mereka ke lokasi," katanya ketika ditemui.
Azlina berkata, disebabkan premisnya berada di tempat yang sedikit tinggi berbanding kawasan lain, kedai berkenaan tidak pernah tenggelam dengan paras banjir paling tinggi adalah setengah.
"Ketika paras banjir setengah meter pun, kedai saya tetap dibuka seperti biasa. Kedai dibuka awal pagi dan ditutup kira-kira jam 12 tengah malam.
"Ada penduduk yang tidak berpindah tapi terputus bekalan makanan, akan makan di kedai ini sebelum mereka mencari bekalan makanan di kedai runcit.
"Jika bukan musim banjir pula, kedai ini menjadi tumpuan penduduk kampung menonton siaran perlawanan bola sepak," katanya.
Mengenai haiwan berbisa seperti ular atau lipan, Azlina mengakui agak risau, namun sudah biasa dengan kehadiran haiwan terbabit.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment