'Polis' gari mangsa, larikan kereta
SHAH ALAM - Seorang mangsa samun bukan sahaja kehilangan kereta dan barangan peribadi, malah terpaksa melalui keadaan tangan bergari selama beberapa jam apabila rumahnya dimasuki penyamun yang menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata,kejadian berlaku pada jam 4.50 pagi di mana keluarga mangsa didatangi tiga lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.
Menurut mangsa, ketiga suspek mengarahkan mangsa membuka pintu dengan alasan mahu membuat pemeriksaan bagi mengesan seorang suspek yang diburu.
"Siasatan mendapati suspek menggeledah rumah dan seorang daripada mereka menunjukkan satu objek menyerupai pistol ke arah keluarga mangsa.
"Sebelum melarikan diri, salah seorang daripada suspek bertindak menggari mangsa bersama tiga anaknya," katanya lagi.
Jelasnya, ketiga suspek telah melarikan sebuah kereta mangsa jenis Honda Insight.
Antara barang lain yang diambil adalah pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba dan barang kemas.
Menurut Shafien lagi, pihaknya bagaimanapun belum dapat mengenal pasti jumlah kerugian sebenar.
Difahamkan, mangsa mengecam dua daripada tiga suspek di mana polis telah membuat lakaran wajah suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment