Ekspresi melalui muzik

Sunday, December 3, 2017

Ekspresi melalui muzik

Ekspresi melalui muzik

SAMBIL membawa pembesar suara yang dipinjam dan pemain MP3, sekumpulan kanak-kanak berusia 13 tahun melalui lorong grafiti sempit di kem pelarian Dheisheh di Palestin.

Apabila sampai di sebuah bangunan yang separuhnya telah musnah dek serangan rejim Zionis, mereka menghidupkan pembesar suara dan mula menyanyi rap.

Itu berlaku lebih 10 tahun lalu apabila lima anak muda Palestin menubuhkan kumpulan hip hop pertama dari Bethlehem, dalam usaha mereka untuk menyatakan perjuangan di kem pelarian terbesar di bandar berkenaan.

Kini, pada usia pertengahan 20-an, kumpulan yang diberi nama  Palestine Street ini telah berkembang untuk berkongsi kemahiran mereka kepada anak muda Palestin.

Menurut salah pengasas kumpulan Palestine Street, Mohammed Azmi, inspirasi  mereka untuk membantu belia Palestin tercetus pada 2008 selepas kematian rakan mereka, Qusay Afandi.

Nyata kematian Afandi akibat ditembak rejim Zionis membuat mereka sedar bahawa jika bukan kerana muzik, mereka semua pasti tidak bertemu.

“Pada mulanya, orang tidak suka. Tetapi kami gunakan seni untuk menceritakan tentang kehidupan seharian seorang rakyat Palestin.

“Kami gunakan muzik rap untuk meluahkan kekecewaan dan harapan. Akhirnya kami mula diterima kerana mereka melihat diri mereka dalam lirik lagu kami,” jelas Azmi.

Bengkel hip hop yang dianjurkan oleh Palestine Street bergerak dari Dheisheh ke kem pelarian di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Ia memberi tumpuan kepada mengajar pemuda Palestin untuk menyalurkan kemarahan dan kekecewaan mereka ke dalam muzik rap.

Tubuh kumpulan hip hop wanita

Dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Azmi dan rakannya, Diya Milhem mula melatih kumpulan hip hop wanita pada tahun 2013 di kem pelarian Dheisheh.

Ia bertujuan untuk mengajar kanak-kanak perempuan di kem terbabit seni ekspresi dan menggalakkan mereka berkongsi pengalaman masing-masing menjadi budak perempuan di kem pelarian Palestin.

Sebelum dikenalkan dengan muzik hip hop, mereka sangat malu. Namun muzik membantu mereka bangkit.

“Selepas berjaya menyesuaikan suara dengan hip hop, kami mula mengetengahkan ekspresi dan berkongsi tentang pengalaman harian sepanjang di kem pelarian,” menurut Sophie Aissa, 15.

Bagaimanapun, kemunculan mereka bukan mudah kerana masyarakat tidak dapat menerima anak gadis menyanyi rap.

“Tetapi kini ramai gadis lain di kem pelarian mahu jadi seperti kami. Kami mahu menggalakkan budak perempuan lain untuk percaya pada diri sendiri dan tunjukkan kebolehan mereka yang tiada siapa jangka,” katanya.

Difahamkan, kumpulan wanita itu kini sedang menyiapkan album pertama mereka.

Sementara itu, Palestine Street juga terus giat mengetengahkan mesej perpaduan dengan rakyat Palestin melalui cara mereka sendiri.

“Saya ingin ingatkan kepada mereka supaya sentiasa luahkan ekspresi dengan ikhlas tidak kira siapa berada di hadapan anda,” jelas Azmi dalam laporan al Jazeera.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment