Disiplinkan anak tugas ibu bapa

Friday, December 29, 2017

Disiplinkan anak tugas ibu bapa

Disiplinkan anak tugas ibu bapa

TAWAU: Ibu bapa digesa bekerjasama dengan guru untuk meningkatkan tahap disiplin murid dan pelajar dalam usaha mencapai kecemerlangan pendidikan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hamisa Samat, berkata ibu bapa tidak boleh membiarkan membentuk disiplin anak kepada guru semata-mata kerana mereka mempunyai banyak tanggungjawab lain.

"Usaha membentuk disiplin lebih kepada tanggungjawab ibu bapa kerana masa anak lebih lama di rumah berbanding hanya beberapa jam di sekolah.

"Malah ibu bapa perlu sedar di sekolah masa lebih ditumpukan untuk aspek pengajaran dan pembelajaran.

"Ini menjadikan masa untuk membentuk sahsiah sangat terhad," katanya ketika melancarkan Program Kembali ke sekolah Gunting Rambut Percuma di Kampung Tanjong Batu Laut, di sini, hari ini.

Program anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjong Batu itu disertai kira-kira 250 kanak-kanak dari Mukim Tanjong Batu, Merotai dan Kalabakan.

Hamisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, berkata ibu bapa perlu menjadikan diri mereka sebagai sebahagian daripada warga sekolah yang aktif bagi membentuk disiplin yang baik dalam kalangan anak.

"Ibu bapa tidak boleh lagi sekadar menerima apa saja yang berlaku di sekolah dan langsung tidak memainkan peranan termasuk memantau tingkah laku serta pencapaian akademik anak masing-masing.

"Mereka mesti lebih aktif mengambil tahu siapa anak mereka di sekolah yang kadang-kadang berbeza dengan sikap mereka ketika di rumah," katanya.

Hamisa berkata, hubungan baik ibu bapa dengan pengurusan sekolah perlu sentiasa ditingkatkan terutama untuk membincangkan perkembangan diri pelajar.

Katanya, ibu bapa masa kini perlu bersikap proaktif termasuk menambah ilmu berkaitan keibubapaan yang sering dianjurkan sama ada melalui seminar atau kursus.

"Kadang-kadang rasa sudah cukup pandai untuk menjadi ibu atau bapa dalam membesarkan anak-anak tetapi tidak sedar sebenarnya kekurangan pengetahuan mengenai anak-anak.

"Kita harus faham sikap dan tingkah laku mereka berbeza dan pastinya cara menguruskan mereka juga memerlukan ilmu pengetahuan yang tidak dipelajari sebelum ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment