Cukupkan keperluan saat akhir
JOHOR BAHRU â" Hanya berbaki dua hari cuti sekolah, namun pada ketika ini masih terdapat ibu bapa membuat persiapan di saat akhir untuk keperluan anak-anak bagi menghadapi penggal persekolahan yang baharu.
Berikutan itu, pelbagai premis perniagaan dan pusat beli-belah yang menjual kasut, pakaian sekolah, alat tulis dan lain-lain giat mengadakan promosi untuk menarik ibu bapa bagi memilih keperluan untuk anak-anak mereka.
Bagaimanapun, rata-rata ibu bapa yang ditemui menyatakan bahawa persiapan untuk memulakan penggal baharu persekolahan dilakukan mengikut kemampuan mereka berikutan pelbagai keperluan lain turut diutamakan dan disediakan.
Bagi ibu bapa walaupun belanja yang dikeluarkan untuk pendidikan anak-anak meningkat saban tahun, namun perasaan untuk melihat anak-anak mereka gembira dan terus bersemangat memasuki sesi persekolahan baharu mengatasi segala-galanya.
Perkara itu diakui pegawai teknologi maklumat, Siti Noor Maisarah Abdul Aziz, 32, dan pegawai imigresen, Fakhrul Ruzzi Zulkifli, 35, yang membelikan semua peralatan sekolah baharu untuk anak sulung lelakinya yang bakal memasuki Tahun 1 pada Isnin ini.
âAnak kami baru masuk darjah 1, jadi semua peralatan sekolah perlu disediakan. Namun, saya berbelanja mengikut keperluan dan memilih pakaian sekolah dengan harga yang berpatutan serta jenama yang baik supaya dapat tahan lama.
âHari ini (semalam) bukan kami belanja saat akhir, sebaliknya baru dapat tahu sekolahnya perlu memakai kasut hitam sedangkan kasut putih sudah dibeli. Alang-alang kami turut mahu membelikan pakaian baju sekolah agama,â ujar Siti Noor Maisarah yang memberitahu memperuntuk kira-kira RM500 untuk pakaian sekolah anaknya.
Sementara itu, pelajar, Marlina Md Ali, 31 berkata, dia lambat membeli kelengkapan persekolahan anak tunggalnya, Amir Bamadhaj, 7, memandangkan sibuk dengan pengajiannya, begitu juga suaminya, Lutfi Mohamad Bamadhaj, 40, turut sibuk menguruskan perniagaan.
âLagipun, saya menggantikan barangan yang perlu sahaja kerana pakaian sekolah anak saya tahun lalu masih elok. Tahun ini saya belikan beg dan kasut serta seluar sekolah baru sahaja.
âTahun lepas saya tidak tahu hanya tiga hari sahaja dia pakai uniform sekolah dan selebihnya memakai pakaian jasmani ke sekolah. Jadi, tahun lalu, saya telah sediakan empat pasang uniform sekolah. Maka, pakaiannya masih baik lagi, jadi dia boleh pakai lagi untuk sesi persekolahan akan datang,â katanya.
Dalam pada itu, pekerja di Singapura, K Vishaa, 43, berkata, dia berbelanja di saat akhir memandangkan cuti sekolah dihabiskan oleh isteri bersama tiga anak mereka di kampung.
âSelain bercuti di kampung, pada masa cuti sekolah ini juga peluang kami untuk berjalan-jalan. Jadi, saya tidak sempat berbelanja peralatan sekolah untuk anak perempuan saya yang bakal naik ke tahun 2. Namun, saya memilih belanja keperluan yang perlu sahaja,â katanya.
Bagi kakitangan kerajaan, Zue Rahim, 37, memberitahu, perbelanjaan persekolahan untuk tiga anaknya dibuat sedikit demi sedikit sejak tiga bulan lalu.
âJadi tidaklah terasa sangat kalau nak beli barang sekolah anak-anak. Maklumlah seorang anak sudah mencecah sekitar RM600 untuk belanja peralatan sekolah mereka,â katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Bahagian Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya memahami pelbagai kos meningkat pada masa kini dan justeru itu promosi kembali ke sekolah diadakan setiap tahun dengan menyediakan diskaun dari 10 hingga 15 peratus ditawarkan.
âMalah, ibu bapa boleh memilih pelbagai jenama yang ditawarkan mengikut kemampuan masing-masing termasuk jenama keluaran pasaraya kami sendiri iaitu E&S. Malah, beg sekolah kami jual boleh dikatakan rendah dari harga pasaran memandangkan kami import terus dari luar.
âSelain itu, kami turut menyampaikan sumbangan barangan persekolahan kepada golongan kurang berkemampuan yang terpilih sebagai menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR),â katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment