Budak 2 tahun cedera dipatuk ular
IPOH: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera selepas tapak tangan kirinya dipatuk ular tedung senduk ketika sedang tidur di sebuah bilik di rumahnya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 7.15 pagi itu, Muhammad Izz Fayat Sumardi dipatuk haiwan berkenaan ketika tidur bersama ibunya yang berusia 37 tahun di atas lantai beralaskan tilam di bilik berkenaan.
Bapa mangsa, Sumardi Chek Had, 39, berkata ketika kejadian dia dan anak ketiganya tidur di atas katil, manakala Muhammad Izz Fayat yang juga anak bongsu daripada empat beradik tidur di lantai beralaskan tilam.
Katanya, ketika kejadian dia baru sahaja tamat syif bekerja jam 7 pagi dan mahu melelapkan mata, namun secara tiba-tiba anak bongsunya menangis.
"Dia menangis dan menjerit kesakitan, sebelum isteri mendapati tapak tangan kirinya berdarah serta terdapat dua kesan patukan ular.
"Panik dengan keadaan itu, saya terus membawa anak saya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) serta menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meminta mereka menangkap ular yang masih berada di bawah tilam berkenaan," katanya ketika ditemui di HRPB di sini, hari ini.
Sumardi berkata, sepanjang perjalanan ke hospital, anak lelakinya menangis tanpa henti dan tangan kirinya kelihatan kebiru-biruan, manakala badan anaknya lemah tidak bermaya.
Katanya, Muhammad Izz Fayat dimasukkan ke wad kecemasan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) HRPB.
"Alhamdulillah, pagi ini dia sudah sedar serta boleh makan dan minum seperti biasa cuma tangannya kirinya membengkak sehingga ke paras siku.
"Doktor juga memaklumkan paru-paru dan buah pinggang anak saya tidak apa-apa," katanya.
Dia berkata, selepas kejadian itu menjadi tular di laman sosial, beberapa jirannya turut mengadu rumah pernah dimasuki ular tedung berkenaan.
Katanya, kejadian itu sedikit sebanyak membuka mata jiran tetangga untuk lebih berhati-hati dan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta APM dapat membuat pemeriksaan bagi mengetahui lubuk reptilia berkenaan.
"Rumah saya pertama kali dimasuki ular tedung malah rumah jiran sebelah juga pernah dimasuki reptilia berkenaan namun tiada kecederaan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment