Bas ekspres langgar lori
KUALA KANGSAR: Lima penumpang cedera selepas bas ekspres merempuh treler di Kilometer 249.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, awal pagi ini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, pemandu bas yang membawa 42 penumpang itu turut cedera manakala pemandu kedua dan 37 penumpang lain dilaporkan selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan dari BBP Meru Raya bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, sebaik saja tiba pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat dengan sebuah treler 25 tan yang membawa muatan habuk kayu.
Katanya, bas berkenaan dipercayai merempuh belakang treler yang diletakkan di bahagian kiri jalan berhampiran susur keluar R&R Sungai Perak.
"Anggota mendapati enam orang iaitu lima penumpang dan pemandu bas cedera dan sudah dibawa keluar dari bas oleh orang awam, sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans.
"Anggota membantu mengeluarkan seorang mangsa yang terselamat yang juga orang kurang upaya cacat penglihatan keluar dari bas menggunakan tangga kecemasan," katanya.
Katanya, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kangar ke Klang.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment