Banjir: Semua pusat pemindahan di Raub ditutup

Monday, December 4, 2017

Banjir: Semua pusat pemindahan di Raub ditutup

Banjir: Semua pusat pemindahan di Raub ditutup

KUANTAN: Semua tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Raub ditutup secara berperingkat bermula semalam sehingga pagi ini selepas air kembali surut.

Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, PPS di Rancangan Rumah Murah (RRM) Cheroh 3 yang dibuka malam Sabtu lalu sudah ditutup jam 3 petang semalam, manakala PPS balai raya Kampung Ulu Sungai pula ditutup jam 10.45 pagi semalam.

"PPS balai raya Kuala Semantan yang menempatkan 26 mangsa daripada tujuh keluarga pula ditutup 7.30 pagi tadi, selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya dan agensi berkaitan bagaimanapun terus berada dalam keadaan bersiap sedia jika keadaan cuaca berubah menjadi buruk dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja membersihkan kawasan runtuhan tanah di laluan ke Perkampungan Orang Asli Sungai Kelit, dekat sini masih giat dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan bantuan agensi berkaitan.

"Kita masih menunggu kerja pembersihan kesan runtuhan tanah selesai, memang mengambil masa kerana ia membabitkan lebih daripada empat lokasi dan tidak boleh dilalui dengan semua jenis kenderaan.

"Kawasan runtuhan membabitkan jarak kira-kira 4 kilometer dan ini menyukarkan kami untuk memasuki kawasan perkampungan itu bagi menghantar bantuan," katanya.

Katanya lagi, bantuan bekalan makanan kepada penduduk kampung berkenaan yang terputus hubungan sudah dihantar disampaikan jam 4 petang, semalam.

Difahamkan terdapat 71 penduduk daripada 21 keluarga menetap di kampung itu.

Kejadian tanah runtuh di kawasan Ulu Sungai Raub yang juga laluan masuk ke kampung berkenaan berlaku kira-kira jam 2 pagi, Sabtu lalu, berikutan hujan lebat di kawasan sekitar daerah berkenaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment