30 kenderaan diperiksa, 10 saman dikeluarkan

Monday, November 20, 2017

30 kenderaan diperiksa, 10 saman dikeluarkan

30 kenderaan diperiksa, 10 saman dikeluarkan

JOHOR BAHRU: Sebanyak 30 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Plaza Tol Skudai, dekat sini, hari ini.

Pengurus Besar Penguatkuasa SPAD Malaysia, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata operasi dua jam bermula 2 petang itu, membabitkan 33 anggota.

Katanya, 10 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk gagal menunjukkan lesen, kenderaan membawa muatan melebihi paras panel sisi, gagal mengemukakan lesen pengendali dan membawa muatan tidak dibenarkan.

"Operasi berterusan di seluruh Semenanjung ini turut membabitkan laluan utama di lebuh raya dan lokasi terminal tertentu yang berisiko berlakunya kemalangan.

"SPAD meningkatkan usaha bersama PLUS bagi mengesan pemandu kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya menerusi pemantauan sistem keselamatan termasuk kamera litar tertutup (CCTV).

"Rakaman CCTV dan bacaan sistem penentu kedudukan global (GPS) secara tidak langsung membantu dari segi pemantauan perilaku pemandu terutama bas dan lori yang memandu secara berbahaya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kesalahan untuk bas adalah mengikut Seksyen 23 manakala lori mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat yang boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment