Warna darah haid tanda keadaan kesihatan wanita

Saturday, December 16, 2017

Warna darah haid tanda keadaan kesihatan wanita

Warna darah haid tanda keadaan kesihatan wanita

MENJAGA kebersihan diri setiap kali datang haid tidak menimbulkan masalah bagi kebanyakan wanita.

Yang menjadikan hati gusar ialah jika haid tidak datang pada waktu yang dijangka, mengalami sindrom premenstruasi yang mengganggu aktiviti harian atau terdapat kelainan daripada segi kepekatan dan warna darah yang keluar.

Penulis percaya terdapat sebahagian pembaca yang sudah mengetahui tanda si sebalik warna-warna darah haid yang berbeza. Namun begitu cuba bandingkan pengalaman atau pengetahuan anda dengan tanda-tanda di sebalik warna darah haid yang penulis terangkan dalam artikel ini.

Jika semuanya serupa, alhamdulillah. Jika berbeza dan mendapati penerangan yang penulis sampaikan berguna maka gunakan info ini sebagai ilmu tambahan. Jangan lupa untuk berkongsi info ini dengan orang lain yang anda fikir harus mengetahuinya.

Sesungguhnya warna dan bau darah haid berserta konsistensi kedatangan haid semuanya memberi info penting mengenai sesuatu yang berlaku pada tubuh anda. Berikut ialah penerangan mengenai warna-warna darah haid dan apa yang ia cuba memberitahu anda.

Merah cerah

Warna ini ialah warna darah haid normal. Jika anda mendapati darah haid dengan warna ini tanpa berbuku-buku maka hormon reproduktif anda dikatakan seimbang. Warna ini biasanya digunakan sebagai panduan asas bagi mengenalpasti warna darah haid sihat yang keluar dalam tempoh lima hingga tujuh hari yang berlaku setiap 28 atau 30 hari.

Coklat atau hitam

Bunyinya pelik namun ia benar-benar dialami oleh sebahagian wanita. Anda tidak perlu bimbang jika mendapati darah haid anda berwarna ini kerana ia ialah darah lama. Warna merah cerah darah haid yang tertinggal dalam rahim teroksida dan warna ini terhasil.

Sebenarnya ia yang biasa berlaku pada bahagian awal dan akhir kedatangan haid adalah sebahagian tanda kedatangan haid normal. Ia dikatakan biasa berlaku kepada wanita yang menggunakan tampon atau mengambil pil perancang keluarga.

Daripada segi paras hormon, darah haid berwarna coklat atau hitam dikatakan berpunca daripada paras progesterone rendah. Progesterone merupakan hormon reproduktif yang mendominasi kitaran menstruasi separuh kedua. Paras ini penting kerana ia membantu konsepsi (persenyawaan) dan implantasi (telur tersenyawa dilekatkan ke dinding rahim). Ketika mengandung, paras progesterone yang rendah mendedahkan anda kepada keguguran.

Manifestasi paras progesterone rendah ialah simptom-simptom: perubahan mood termasuk resah atau murung, berpeluh waktu malam, kedatangan haid tidak tetap dan keinginan seks.

Warna coklat atau hitam juga adalah tanda berlakunya infeksi alat sulit jika disertai simptom-simptom seperti kegatalan alat sulit, bau tidak menyenangkan, sakit di abdomen, sakit ketika buang air kecil, sedikit darah keluar bukan pada masanya dan discaj berwarna coklat bercampur kuning atau kelabu.

Bagi wanita berumur mencecah 50 ia adalah tanda normal bagi menopaus. Jika berlaku pada wanita pasca menopaus dapatkan pemeriksaan doktor bagi menentukan ia bukan kanser rahim atau pengumpulan darah dalam rahim (cervical stenosis).

Merah gelap atau ungu

Darah haid berwarna gelap termasuk merah gelap atau ungu dikatakan adalah darah lama juga tetapi tidak setua darah haid berwarna coklat atau hitam. Ia biasanya keluar dengan banyak (terdapat kemungkinan kekurangan zat besi) atau paras estrogen tinggi.

Estrogen merupakan hormon reproduktif yang membina lapisan rahim setiap bulan. Berbeza dengan progesterone, paras estrogen mendominasi separuh pertama kitaran menstruasi. Ia berperanan membina folikel. Paras estrogen yang optima penting bagi memastikan ovulasi dan implantasi berjalan lancar.

Jika tidak ditangani, paras estrogen tinggi boleh menimbulkan masalah kepada tubuh. Ia menghalang ovulasi, mengganggu kesuburan dan menghalang implantasi embrio.

Simptom-simptom paras estrogen tinggi termasuk payudara mengeras, darah haid banyak, darah haid berbuku-buku, endometriosis, sindrom polisis ovari, sis ovari dan sindrom premenstruasi. Paras estrogen tinggi mengganggu keseimbangan pertumbuhan tulang, payudara, otak dan paras kolesterol.

Estrogen menjalani metabolisme dalam hati. Paras estrogen tinggi boleh dikurangkan dengan mendetoks hati dengan mengamalkan pengambilan herba pahit seperti daun betik atau ulam raja adalah langkah bermanfaat.

Kurangkan pengambilan jus buah-buahan campuran (pelbagai jenis) dan makanan panas dibungkus dalam plastik bagi mengelakkan kemungkinan kemasukan xeno-estrogen (bahan kimia meniru fungsi estrogen) ke dalam tubuh.

Merah jambu muda dan berair

Darah haid dengan keadaan ini dikatakan sebagai tanda darah anda berkualiti rendah รข€" pembinaan sel darah merah rendah dan/atau kekurangan nutrien. Terdapat kemungkinan ia adalah tanda anda mengalami anemia pemakanan (nutritional anemia) berpunca daripada keurangan zat besi, folat atau vitamin B12.

Simptom-simptom anemia pemakanan termasuk lesu, otot lemah, otot bergerak-gerak tanpa kawalan, rasa kebas atau pijar. Anemia pemakanan juga menyebabkan tidak datang haid atau darah haid banyak atau berair.

Daripada sudut perubatan alternatif kaedah paling mudah untuk mengatasi anemia jenis ini ialah dengan mengambil gula merah paling gelap (black strap molasses). Ia kaya dengan zat besi, manganese dan lain-lain mineral di samping mengandungi vitamin-vitamin B. Lobak bit juga dikatakan dapat membantu.

Setiap remaja perempuan belasan tahun amat beruntung jika mendapati diri mereka mula datang haid kerana ia amat bernilai. Ia sebagai tanda mereka akan bersedia pada bila-bila masa dalam masa beberapa tahun mendatang menjadi induk kepada anak-anak setelah mendirikan rumah tangga.

Pengalaman kedatangan haid pertama biasanya dikongsi dengan ibu atau dengan rakan-rakan perempuan sebaya. Si ibu akan memberitahu selok-belok bagaimana menjaga kebersihan diri ketika datang haid. Selain mencadangkan penggunaan tuala wanita yang sesuai, menyampaikan info mengenai warna darah haid yang berbeza-beza bergantung kepada keadaan juga adalah penting.

Bahrain Samah, pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment