Vingada akhirnya letak jawatan

Wednesday, December 6, 2017

Vingada akhirnya letak jawatan

Vingada akhirnya letak jawatan

KUALA LUMPUR: Jodoh Nelo Vingada bersama Harimau Malaya hanya bertahan enam bulan, enam hari apabila jurulatih dari Portugal itu mengambil keputusan melepaskan jawatan disandangnya berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Vingada berkata, keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab selepas gagal membantu Harimau Malaya meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan kendaliannya.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.

"Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku, saya mengumumkan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta-merta dan presiden sendiri turut menerima keputusan ini.

"Saya berharap dan berdoa agar bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini. Saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak Malaysia biarpun dalam tempoh yang singkat," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM.

Mengikut jejak Vingada ialah dua pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho (penolong jurulatih) dan Francisco Jose Bruto Da Costa (jurulatih kecergasan).

Vingada yang digelar 'The Professor' dilantik secara rasmi pada 15 Mei tahun ini dan terus mengetuai pasukan menentang Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia.

Hanya satu keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong di kelayakan Piala Asia 2019 menjadi mata tunggal diraih Vingada sepanjang tujuh perlawanan bersama skuad kebangsaan.

Kekalahan 1-4 kepada Korea Utara dalam dua perlawanan kelayakan di Buriram, Thailand awal bulan lalu menjadi keputusan paling buruk dicatatkan Vingada sekali gus menyaksikan anak buahnya gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.

Harimau Malaya akan melengkapkan kempen kelayakan itu dengan menentang Lubnan di tempat lawan, Mac depan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment