Usah ambil ringan jika demam
PORT DICKSON - Orang ramai tidak boleh mengambil ringan jika mengalami demam, sebaliknya perlu segera mendapatkan rawatan doktor kerana ia mungkin tanda-tanda dijangkiti denggi.
Pegawai Kesihatan Daerah Port Dickson, Dr Noor Khalili Mohd Ali berkata, selain pemeriksaan kebersihan, keadaan dalam dan persekitaran luar rumah secara berkala, orang ramai juga perlu peka dengan keadaan kesihatan diri dan keluarga.
Menurutnya, kebanyakan kes denggi di daerah ini hanya dikenal pasti selepas pesakit itu mengalami demam lima hari dan ia adalah satu tempoh yang lewat.
âMereka hanya berjumpa doktor selepas demam berhari-hari. Justeru, orang ramai perlu peka dengan kesihatan diri.
âJika demam segera berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan awal, selewat-lewatnya hari kedua demam,â katanya semasa merasmikan Program Gotong Royong Mega di Taman PD Utama, kelmarin.
Noor Khalili berkata, sebaik individu itu dikenal pasti dijangkiti denggi, Pejabat Kesihatan akan melakukan pencegahan awal seperti semburan kabus (fogging) di kawasan kediaman dan sekitarnya.
âIa bagi membunuh nyamuk dewasa dan menghindari orang lain pula dijangkiti denggi.
âIni antara kawalan pencegahan wabak yang boleh dilaksanakan selain kerja-kerja gotong-royong bersama penduduk,â katanya.
Menurutnya, kerjasama orang ramai juga diperlukan sepanjang proses semburan kabus dilaksanakan.
âBerilah peluang kepada petugas untuk membuat semburan fogging di dalam rumah bagi memastikan nyamuk di dalam rumah juga dapat dihapuskan.
âTindakan tegas akan dikenakan kepada pemilik premis jika kediaman mereka didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk,â katanya.
Sementara itu beliau berkata, dari Januari sehingga minggu lalu, sebanyak 104 kes denggi dicatatkan di Port Dickson.
Katanya, jumlah itu jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lepas tidak banyak perbezaan.
âAda beberapa kawasan dan taman perumahan yang masih dalam situasi wabak denggi.
âKadar kepekaan masyarakat terhadap denggi perlu terus dipertingkatkan,â katanya.
Tambahnya, antara punca utama denggi masih belum dapat dibanteras di daerah ini adalah kewujudan rumah tinggal.
âKewujudan longgokan sampah haram yang dibuang individu tidak bertanggungjawab juga menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes,â katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment