Tidak sempat berjoli dengan hasil samun

Monday, December 4, 2017

Tidak sempat berjoli dengan hasil samun

Tidak sempat berjoli dengan hasil samun

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tidak sempat berjoli dengan hasil kegiatan samunnya di dua buah rumah selepas ditahan polis hanya dalam tempoh tidak sampai 24 jam dia melakukan jenayah tersebut.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, ketika dipercayai sedang menjual barang hasil samunnya di tepi Jalan Banggol, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, ketika ditahan, polis turut merampas pelbagai barangan kemas, telefon bimbit, pakaian dan wang tunai milik mangsa yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM22,000.

Jelasnya, dalam kejadian pertama, suspek berasal dari Merang, setiu, memecah rumah sebuah rumah di Kampung Rhu Tapai, Bandar Permaisuri, Setiu, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

“Kejadian disedari mangsa yang juga wanita warga emas berusia 64 tahun yang baru pulang kerumahnya, sebaik ternampak seorang lelaki terjun daripada tingkap rumah sebelum melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah mangsa.

“Mangsa kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati satu gelang tangan emas dengan 10 biji batu permata; empat gelang tangan emas; dua subang emas; satu cincin emas; selain dua buah telefon bimbit; beg duit dan sehelai baju serta seluar dan seutas tali pinggang lesap dilarikan pencuri.

“Akibat kejadian itu, mangsa dianggarkan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM20,000,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK, di sini, semalam.

Katanya, dalam kejadian kedua kira-kira jam 5.15 pagi, semalam, seorang operator kilang terkejut apabila menemui beg tangan miliknya berada dibahagian pintu dapur, sebelum membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati pintu dapur rumahnya terbuka.

“Mangsa baru bangun daripada tidur dan mendapati telefon bimbit serta beg tangannya yang diletakkan di dalam bilik hilang. Wanita berusia 31 tahun itu kemudian memeriksa setiap bahagian rumah sebelum menemui beg tangannya dan pintu dapur yang terbuka.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati suspek melarikan dua buah telefon bimbit miliknya mangsa, selain wang tunai RM350; tiga cincin emas; ‘power bank’ dan seluar warna kuning dengan anggaran kerugian RM2,000,” katanya.

Fazlisyam berkata, kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Penarik sebelum suspek ditahan di Jalan Banggol, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, semalam, hasil maklumat awam dan kecekapan polis.

Jelasnya, suspek yang positif dadah jenis methaphetamine turut memiliki rekod lampau membabitkan kes Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi dan kes Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment