Mangsa banjir turun mendadak di Kelantan
KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan berkurangan secara mendadak kepada 4,173 orang ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 petang ini, berbanding 8,193 orang mangsa di 29 PPS pada pagi tadi.
Kesemua mangsa daripada 1,528 keluarga yang ditempatkan di PPS membabitkan tiga daerah iaitu Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.
Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, satu-satunya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong, Pendek di Kota Bharu sudah ditutup menyebabkan 37 mangsa membabitkan 10 keluarga yang ditempatkan di situ sudah pulang ke kediaman masing-masing.
Pasir Mas menyaksikan penurunan secara mendadak kepada 1,635 mangsa membabitkan 635 keluarga ditempatkan di sembilan PPS, berbanding 4,804 orang di 19 pusat pagi tadi.
Perubahan itu menjadikan Tumpat mencatat mangsa banjir paling tinggi namun turut berkurang kepada 2,514 orang daripada 888 keluarga dipindahkan di lapan PPS berbanding 3,328 orang sejak malam tadi.
Pasir Puteh yang mempunyai satu lagi PPS di SK Wakaf Raja, Bukit Awang masih tidak berubah dengan menempatkan 24 orang daripada lima keluarga, sejak semalam.
Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus berkurangan dari semasa ke semasa memandangkan cuaca makin baik.
Sementara itu, keadaan Sungai Golok di Rantau Panjang dilihat semakin surut namun masih di paras bahaya iaitu 9.73 meter (m) berbanding 9.94m pagi tadi.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment