Sayap UMNO mahu Najib, Zahid terus terajui parti

Tuesday, December 5, 2017

Sayap UMNO mahu Najib, Zahid terus terajui parti

Sayap UMNO mahu Najib, Zahid terus terajui parti

KUALA LUMPUR: Tiga sayap UMNO hari ini menyuarakan pendirian agar dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO tahun depan.

Ia dinyatakan Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung sayap masing-masing, pagi tadi.

Shahrizat berkata, pergerakan itu menyokong cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan seperti dicadangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, baru-baru ini.

"Cadangan itu penuh hikmah dan bijaksana kerana perpaduan dan muafakat serta kestabilan parti," katanya.

Hishammuddin, dalam satu wawancara media yang disiarkan 21 November lalu, dilaporkan berkata dua jawatan tertinggi UMNO tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti tahun depan bagi memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijangka berlangsung sebelum itu.

Presiden UMNO kini ialah Datuk Seri Najib Razak, manakala tugas Timbalan Presiden dijalankan oleh seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy pula menegaskan syor tiada pertandingan itu bagi memastikan solidariti parti kekal utuh, terutama dalam mendepani PRU-14.

Pada masa sama, katanya, sokongan "sebulat hati" perlu diberikan kepada Najib dan Ahmad Zahid untuk mengemudikan parti bagi mengharungi PRU-14.

"Biar kita ke medan perang dengan hati yang tenang, dengan fikiran yang lapang. Jangan terbeban dengan persoalan siapakah yang perlu diundi nanti. Jadi, 'we settle the big question today', tak perlu lagi dibelenggu persoalan ini," katanya.

Mas Ermieyati pula menegaskan gandingan Najib dan Ahmad Zahid ketika ini sudah cukup mantap, bagai aur dan tebing.

Katanya, kedua-dua pemimpin berjiwa besar ini harus dikekalkan dan diberikan ruang untuk terus bersama-sama memantapkan parti dan negara.

"Dengan itu, tumpuan kita juga dapat ditumpahkan sepenuhnya terhadap usaha untuk menumpaskan gempuran politik pembangkang dalam PRU-14, seterusnya menyambung mandat untuk memenuhi agenda kepentingan rakyat," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment