Rondaan, penguatkuasaan bersepadu tangani pondan

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa mengadakan rondaan bersepadu serta merta bagi menangani gejala sosial membabitkan mak nyah di Flat Petani, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie, berkata tindakan drastik segera itu bagi memastikan gejala terbabit tidak memberi kesan buruk kepada imej negeri ini khususnya sempena Visit Beautiful Terengganu 2018 (VBT18).
Beliau berkata, tindakan itu juga akan melindungi masyarakat setempat terutama penduduk di kawasan kejiranan berkenaan yang turut menerima kesan daripada masalah sosial terbabit.
"Flat Petani di bawah seliaan MBKT yang turut diarah membuat pemeriksaan lesen di lokasi yang mempunyai unsur hiburan.
"Selain itu, kita juga bekerjasama dengan polis, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan Jabatan Hal Elwal Agama Terengganu untuk merencana usaha bersepadu bagi membawa komuniti mak nyah ini kembali ke pangkal jalan," katanya.
Beliau yang ditemui selepas Program Seni Hias Bandar Anjuran MBKT di Batu Buruk, di sini hari ini, mengulas laporan BH mengenai Flat Petani yang dipercayai menjadi sarang mak nyah menjalankan aktiviti seks sejak 20 tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, ratusan mak nyah dikatakan silih berganti menetap di kawasan yang turut disewa penduduk yang sudah berkeluarga.
Tinjauan BH di penempatan itu mendapati beberapa rumah dipasang lampu berwarna merah dan masih terang walaupun pada waktu tengah malam.
Selain bau kurang menyenangkan, banyak kondom didapati bertaburan, dipercayai dibuang melalui tingkap oleh kumpulan terbabit yang menggunakan pelbagai strategi untuk menarik pelanggan, termasuk menayangkan buah dada dan berpakaian seksi.
Malah ada yang memakai tudung sambil memanggil pelanggan memasuki kawasan itu.
Sementara itu, Mohd Jidin berkata, semua premis yang diberi lesen hiburan juga akan dipantau supaya tiada kelompok mak nyah berleluasa sehingga mencemarkan imej negeri ini khususnya di mata pelancong.
"Kerajaan tidak akan membiarkan pemilik bangunan atau premis yang membenarkan gejala sosial berleluasa. MBKT akan membuat semakan sama ada pemilik lesen mematuhi peraturan seperti tidak menjejaskan nama baik negeri kerana masalah sosial," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment