Rasuah: Koperal ditahan reman tujuh hari
JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang guru agama berjumlah RM3,000.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Rabu depan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Faridatul Farrah Mohd Shukri selepas membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a)Akta SPRM 2009.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Suspek yang berusia 49 tahun tiba di pekarangan Mahkamah Majistret, di sini, dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari kira-kira jam 9.30 pagi sambil diiringi pegawai daripada suruhanjaya itu.
Sebelum ini, lelaki itu ditahan di pusat membaiki kereta sekitar Kulai kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Hasil siasatan yang dijalankan, suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM3,000 daripada pengadu untuk tujuan menyelesaikan siasatan berhubung satu kes dadah oleh Bahagian Narkotik IPD Kulai yang melibatkan guru agama itu.
Susulan tangkapan tersebut, pasukan penyiasat melakukan penggeledahan di dua lokasi yang berbeza di negeri ini dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment