Petani rugi, tanaman padi rosak akibat banjir
PERMAISURI: Musim banjir menyebabkan 26 petani terpaksa menanggung kerugian lebih RM52,000 apabila tanaman padi mereka rosak ditenggelami banjir.
Ketua Unit Peladang dan Kelompok Padi Kampung Buluh Hilir dan Kampung Buruk, Che Aziz Che Hamid, 54, berkata kerugian itu membabitkan kawasan seluas 32.4 hektar daripada jumlah keseluruhan 121.4 hektar tanaman padi yang diusahakan lebih 100 petani.
"Kerja menuai hasil yang mula dijalankan pertengahan November lalu sepatutnya berakhir pertengahan bulan ini.
"Kami langsung tidak menjangka musim banjir tahun ini lebih awal, tidak seperti sebelum ini sekitar akhir Disember," katanya yang ditemui di Kampung Tasek, di sini, hari ini.
Che Aziz berkata, sepatutnya pada pertengahan bulan ini kerja membajak tanah untuk musim pertama tahun hadapan sudah mula dilaksanakan.
"Namun kebanyakan petani sudah tidak mempunyai modal untuk memulakan musim baru selepas menanggung kerugian besar.
"Bagi setiap hektar pada musim ini, ia boleh menghasilkan satu tan padi dengan hasil sekitar RM1,000.
"Kebanyakan padi rosak ditenggelami air lebih tiga hari menyebabkan tumbuh benih baru. Apabila dihantar ke kilang, ia akan potong 65 peratus daripada berat asal," katanya.
Katanya, walaupun dibebani kerugian padi rosak, petani terpaksa juga membayar upah jentera menuai dan van untuk mengangkut hasil padi ke kilang.
"Bayaran upah jentera sekitar RM110 dan bayaran van RM40 untuk satu tan bagi mengangkut hasil padi ke kilang.
"Petani juga terpaksa membayar sewa tanah antara RM100 hingga RM300 bagi setiap hektar tanah," katanya.
Beliau berkata, selain cuaca beberapa faktor lain antaranya jalan sawah rosak turut menjadi punca padi lambat dituai.
Sementara itu, Mohammad Khairul Azwan Othman, 27, berkata, kejadian itu kali kedua dialaminya sejak 2014.
"Saya mula mengusahakan tanaman padi sejak enam bulan lalu dan kejadian kedua padi ditanam ditenggelami air selepas kali pertama menghadapi situasi serupa pada 2014.
"Saya mengusahakan padi di atas tanah seluas 6.47 hektar, tetapi hanya tujuh 2.7 hektar hasil padi sempat dituai," katanya.
Bagi Daud Mahmud, 56, dia pasrah apabila 5.6 hektar daripada 7.3 hektar padi yang diusahakan rosak.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment