Pertahan Baitulmaqdis, bukti perpaduan kukuh - TPM

MELAKA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat negara ini kekal mempertahankan semangat perpaduan seperti yang ditunjukkan dalam Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis, baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia dibuktikan dengan penyertaan pemimpin pelbagai agama dan kaum bagi menunjukkan rakyat Malaysia bersatu hati dalam mempertahankan kota suci Islam itu.
"Pada 22 Disember lalu, dalam Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis, terdapat pemimpin persatuan Katolik yang turut serta. Syabas dan tahniah kepada mereka.
"Pemimpin ini memahami keharmonian dan perasaan rakyat Malaysia. Kita lihat sesuatu yang mahu diwujudkan atas keharmonian pada awalnya memang sukar, tetapi apabila ia dipertahankan, maka keharmonian akan menjadi tunggak kepada perpaduan rakyat di negara ini.
"Inilah indahnya, inilah uniknya Malaysia...kita harus bersyukur kepada Tuhan Maha Esa, kepada Allah SWT atas anugerah yang diberikan, pertahankanlah keamanan di negara kita.
"Pertahankanlah keharmonian bersama, pertahankan rasa kecintaan dan kekitaan sesama rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Krismas Peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Memorial Pengistiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, di sini, sebentar tadi.
Majlis dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung itu turut diserikan dengan persembahan kesenian dan kebudayaan pelbagai kaum, termasuk masyarakat Portugis Melaka dan pertunjukan bunga api.
Acara turut diwarnai dengan persembahan pentas oleh penyanyi kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam, Hael Husaini, Dasha Logan dan Koir Permata Seni.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin serta barisan EXCO kerajaan negeri.
Sambutan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Kerajaan Melaka itu sejajar misi untuk memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia, selain membina jati diri bangsa berteras seni, budaya dan warisan negara.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment