Penduduk dapat hak milik tanah
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/desafalah1.transformed.jpg)
JOHOR BAHRU: Selepas menunggu hampir 30 tahun, kira-kira 100 penduduk Kampung Desa Perwira di sini, bakal memiliki tanah sendiri apabila kerajaan Johor akan mengambil alih tanah kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Johor Corporation (JCorp) akan mengambil alih tanah kampung berkenaan daripada kerajaan pusat dengan nilai lebih RM300 juta.
Katanya, sudah 28 tahun penduduk kampung mengemukakan permohonan mendapatkan hak milik tanah, bagaimanapun kerajaan negeri tidak dapat mempertimbangkan kerana ia terletak atas tanah kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada pihak swasta pada 1990-an, bagi tujuan pembinaan kem tentera.
"Bagaimanapun syarikat berkenaan tidak berjaya. Kerajaan negeri mengambil keputusan mengambil alih seluruh tanah ini dan hak milik dapat diberikan kepada penduduk Kampung Desa Perwira.
"Kini penduduk sedang menyiapkan proses permohonan menerusi Borang 1A dan dalam pembangunan semula, kerajaan negeri akan menempatkan lebih 1,000 rumah mampu milik untuk ditawarkan pada setinggan yang berjiran dengan Kampung Melayu Pandan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program latihan dan khidmat masyarakat kerja menurap semula dataran kejat dan menyelenggara kerosakan di Surau al-Falah Desa Perwira di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Kementerian Kerja Raya, Zureen Zubir.
Mohamed Khaled berkata, pada Februari tahun hadapan, beliau akan hadir semula ke Kampung Desa Perwira bagi menyerahkan Borang 5A kepada penduduk kawasan berkenaan.
"Saya juga akan berjumpa dengan semua setinggan berdekatan kawasan ini dan mana yang lama di situ, dia layak (mendapat hak milik). Tetapi mana yang baharu datang, mereka perlu membeli (tanah atau rumah mampu milik) dengan harga biasa.
"Ini penyelesaian yang kita sedang buat selain turut melihat kawasan lain di sekitar bandar raya ini. Terbaharu di Kempas tempoh hari saya bagi hak milik tanah dan Pulai juga saya sedang lihat macam mana mahu selesaikan masalah ini yang akhirnya memberi kehidupan sejahtera kepada rakyat," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment