Makmal dan stor dadah di Klang diserbu

Thursday, December 21, 2017

Makmal dan stor dadah di Klang diserbu

Makmal dan stor dadah di Klang diserbu

SHAH ALAM: Dua buah rumah yang dijadikan stor dan makmal memproses syabu diserbu polis di Kampung Jawa dan Bandar Puteri, Klang.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rashid Ab Wahab berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 4 petang di sebuah rumah di Bandar Puteri, Klang, polis menahan dua lelaki tempatan.

"Polis merampas dadah jenis syabu dengan berat anggaran 8,976.4 gram dan beberapa peralatan untuk membungkus dadah.

"Anggaran nilai rampasan dadah adalah RM628,348,00 dan ia disyaki untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abd Rashid berkata, dalam serbuan kedua kira-kira jam 7.30 malam kelmarin di sebuah rumah di kawasan Kampung Jawa, Klang, polis merampas cecair dipercayai minyak meth sebanyak 54,382 mililiter dan bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,051 gram serta beberapa bahan kimia dan peralatan yang dipercayai untuk memproses dadah dalam rumah itu.

Katanya, anggaran nilai rampasan dadah dipercayai untuk pasaran tempatan itu adalah RM73,570.

Turut disita sebuah kereta jenis Mazda RX8 dengan anggaran RM80,000, wang tunai berjumlah RM9,500 serta dua utas rantai emas. 

"Suspek masing-masing berusia 37 tahun dan 40 tahun serta tidak mempunyai pekerjaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 27 Disember ini," katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan mengikut Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pernah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Katanya, kedua-dua suspek juga dipercayai terbabit dengan kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai 'Geng 24'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, rampasan dadah terbabit adalah yang terbesar di Klang Selatan tahun ini.

"Kami percaya jika kesemua bahan kimia yang dirampas diproses menjadi dadah jumlah rampasan boleh mencecah RM2.4 juta," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment