Kafe dikendali pelajar OKU akan diperluas

Wednesday, December 6, 2017

Kafe dikendali pelajar OKU akan diperluas

Kafe dikendali pelajar OKU akan diperluas

KUALA LUMPUR -  Kafe Inspired Kitchen, yang dikendalikan pelajar orang kurang upaya (OKU) Kolej Komuniti Selayang, akan diperluaskan secara berperingkat pada masa akan datang.

Menteri PendidikanTinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata setakat ini, kafe berkenaan yang menawarkan kopi jenama ‘Inspired Kitchen’ dan pelbagai jenis makanan hanya beroperasi di Kolej Komuniti Selayang dan Kementerian Pendidikan Tinggi, selain menjalankan perniagaan di program-program tertentu.

“Cadangan untuk diperluas (ada), tetapi ia berkembang perlahan kerana pelajar-pelajar ini ‘slow learners’ (lembam). Bagaimanapun melalui pengajian di kolej komuniti, kita memberi pengiktirafan dan peluang kepada mereka bergaul dengan masyarakat.

“Kolej komuniti bukan hanya memberi latihan kepada pelajar OKU tetapi satu cabang perniagaan kepada kolej komuniti,” katanya kepada pemberita selepas melawat gerai pameran Kitchen Inspired di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini sempena Perhimpunan Agung Umno 2017.

Sehingga kini, seramai 232 pelajar OKU yang mengalami masalah pendengaran, penglihatan, bisu dan masalah pembelajaran mengikuti pelbagai program pengajian di 57 kolej komuniti di seluruh negara.

Antara program pengajian yang diikuti adalah Sijil Kulinari, Sijil Animasi 3D, Sijil Asas Pembuatan Seramik, Sijil Fesyen dan Pakaian, Sijil Pengendalian Acara dan Sijil Servis Kenderaan Ringan.

Sementara itu, Pensyarah Program Asas Kulinari Kolej Komuniti Selayang, Fazlilawati Fadzil berkata jenama Inspired Kitchen mula diperkenalkan sejak mereka membuka gerai pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas.

Beliau berkata pelajar yang terlibat mengendalikan kafe berkenaan adalah pelajar bisu dan mengalami masalah pembelajaran, namun sentiasa rajin dan bersemangat untuk memperbaiki kemahiran diri.

“Setakat ini kami sudah melahirkan lima barista dan seorang daripadanya ditawarkan bekerja di kafe kopi di luar. Kita memberi peluang untuk mereka menimba ilmu sebagai platform untuk lebih berdikari,” katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment