Inpens perkasa TVET negara
Apakah fokus perancangan dalam membawa transformasi perubahan terhadap Inpens Kuala Selangor?
Dasarnya, Inpens ini ditubuhkan untuk menampung pelajar yang keciciran dan tidak berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang akademik. Namun, saya melihat institusi ini berpotensi untuk menjayakan agenda kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Mohamed Ali yang sangat menekankan bidang pendidikan TVET apabila memperuntukkan RM5 juta untuk pembangunan Inpens. Kita tidak boleh mengajar dengan fasiliti yang 15 tahun ke belakang dan perlu ada pembaharuan mengikut peredaran zaman dan perubahan teknologi.
Apakah potensi Inpens ke arah institusi kemahiran TVET terbaik Selangor?
Saya melihat potensi Inpens ini cukup besar lebih-lebih lagi masa kini ramai yang memperkatakan mengenai TVET. Bagaimanapun soal TVET ini cukup luas dan bagi Inpens, saya lebih menjurus ke arah keperluan Industri 4.0. Justeru, bagi mencapai sasaran itu, pertama sekali kemudahan fasiliti perlulah dinaik taraf memenuhi teknologi terkini dan keduanya, keupayaan tenaga pengajar dimaksimumkan sebaik mungkin dengan teknologi terbaharu. Jika perlu ada pengalaman industri, kita akan pastikan tenaga pengajar Inpens mempunyai pengalaman industri sebab tidak mahu kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan tenaga mahir.
Jalinan hubungan industri dengan syarikat terkemuka mampu menambah keyakinan orang ramai terhadap Inpens. Boleh perincikan serba sedikit?
Dengan pembangunan dan pembaharuan yang dilaksanakan Inpens, ternyata berjaya menarik minat syarikat besar termasuk NGO, bahkan mereka teruja dengan keupayaan Inpens yang memiliki fasiliti terkini. Inilah yang kita bangunkan sekarang bagi menarik lebih ramai pelajar untuk masuk ke Inpens, sekaligus mencapai Industri 4.0. Sebagai contoh, kita mempunyai hubungan baik dengan syarikat pengeluar automotif terkemuka dan memiliki satu bilik pembelajaran di mana enjin diperuntukkan khas untuk pelajar Inpens dengan kos keseluruhan hampir RM3 juta. Satu lagi syarikat pengeluar pendingin hawa terkemuka yang berminat mengadakan satu bilik pembelajaran lengkap.
Apakah kursus yang menjadi fokus di Inpens dan bagaimana Inpens menterjemahkan keupayaan setiap sektor yang ada?
Di Inpens, kita mempunyai 10 bidang yang dikhususkan, bagaimanapun kita tidak boleh menjadi juara kesemuanya. Perlu pilih kursus mana yang sesuai untuk diangkat lebih jauh dan hasil perbincangan bersetuju untuk mengetengahkan kursus elektrik, automotif dan pendingin hawa memandangkan kelebihan pusat pembelajaran yang terkini dan kerjasama industri yang dimeterai. Bagi sektor elektrik, kita mempunyai dua model rumah yang dibina untuk tujuan praktikal pemasangan pendawaian. Bagaimanapun bagi sektor lain, kita juga mewujudkan show case bagi menonjolkan keupayaan sektor masing-masing seperti sektor dandanan rambut dan kecantikan.
Apakah harapan Inpens dalam perancangan akan datang, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Jubli Perak?
Sudah menjadi harapan saya untuk melihat pembangunan yang dibawa membawa kecemerlangan dengan sokongan kerajaan negeri melalui saluran peruntukan, penjenamaan dan meneruskan tajaan pembiayaan Program Kemahiran Teknikal Negeri Selangor. Pada masa sama, kita mempromosikan TVET Inpens tanpa menidakkan kursus lain, selain membangunkan Pusat Inkubator Inpens Smart Selangor di Sijangkang, Batang Kali, Meru, Sungai Besar dan terbaharu di Bandar Baru Sungai Buloh.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment