'Beli bekalan awal hadapi banjir termenung'
TUMPAT: Stok makanan dan keperluan asas dibeli seminggu lebih awal dari jangkaan banjir, membolehkan kebanyakan penduduk sekitar Kampung Simpangan di sini, terus bertahan di rumah masing-masing walaupun kawasan sekitarnya ditenggelami air.
Walaupun rumahnya dinaiki air sedalam 0.3 meter sejak Selasa lalu, namun Nawawi Latif, 52, menganggap keadaan itu adalah biasa dan tidak meskipun rumahnya dinaiki air sejak Selasa lalu hingga mencecah paras 0.3 meter, keadaan itu adalah normal baginya dan tetap tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagaimanapun, katanya, isteri dan dua anaknya berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kelaboran sejak hari pertama banjir lagi.
"Saya tidur di atas sofa kerana air sudah masuk ke dalam rumah dan mencecah paras betis. Keesokan harinya, air mulai surut dan kini berada di paras pinggang di luar rumah.
"Paras air ini bertahan selama beberapa hari sebelum surut ke Sungai Golok," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Nawawi berkata, jika terputus bekalan makanan, beliau akan menaiki bot miliknya untuk ke kedai berdekatan sebelum menunggang motosikal yang ditumpangkan di rumah penduduk yang tidak ditenggelami air.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Simpangan, Othman Hamad, berkata sebahagian besar penduduk kampung itu memang tidak berpindah setiap kali banjir melanda.
Beliau berkata, daripada lebih 300 keluarga di kampung itu, hanya kira-kira 50 keluarga sahaja yang berpindah ke PPS, manakala selebihnya tinggal di rumah menunggu air surut.
"Penduduk kampung ini sudah biasa dengan situasi banjir termenung sebegini dan ia tidak pernah memudaratkan, cuma sukar untuk bergerak ke sana sini bagi mereka yang tidak mempunyai bot peribadi," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment