ATB rawat 4 nelayan Filipina terdampar di Pulau Billean
SANDAKAN - Anggota Angkatan Tugas Bersama (ATB) memberi bantuan perubatan kepada empat kru kapal nelayan Filipina yang terdampar di Pulau Billean dekat sini, hari ini, selepas kapal tunda dinaiki mereka karam enam hari lalu.
Kapal tunda itu karam setelah dipukul ribut taufan Tembin di perairan Kepulauan Mangsee Filipina sebelum hanyut sejauh 60 batu hingga ke Pulau Billean.
Komander ATB 2 briged jeneral Zarondin Md Amin berkata anggota-anggota ATB yang bertugas di pos kawalan di pulau itu menemui empat kru berkenaan pada jam 12.50 tengah hari ketika melakukan rondaan.
âKesemua mangsa melecur di beberapa bahagian badan dan kaki akibat berada di lautan selama beberapa hari,â katanya dalam kenyataan di sini.
Selain dirawat, beliau berkata kesemua mangsa itu turut diberi makanan dan minuman.
Keempat-empat mangsa itu ialah tekong yang dikenali sebagai Arnei Fetalvero Viana, 40, dan tiga kru kapal iaitu Chfmate Josefph Aque, 30, Roger Chaves Cheif, 49, dan Thomas Taboso, 42.
Zarondin berkata kesemua mangsa bermalam di penempatan tentera di Pulau Billean kerana cuaca tidak mengizinkan dan mereka akan diserahkan kepada pihak berkuasa FIlipina esok.
Menurutnya mangsa mendakwa mereka hanya berpaut pada serpihan kapal semasa hanyut di perairan dan tidak tahu tentang 12 lagi kru kapal itu.
"Kira-kira 30 hingga 40 bot nelayan di sekitar Kepulauan Mangsee hanyut dan karam akibat dilanda ribut taufan Tembin sejak empat hingga lima hari lalu.
"Setakat ini, 56 orang daripada bot-bot berkenaan telah ditemukan," katanya. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment