Anak istimewa tenang ketika dikhatankan
KLANG - Meskipun dia anak istimewa autisme, dia langsung tidak menangis atau meronta-ronta apatah lagi berasa takut ketika melalui proses berkhatan bersama rakan-rakan lain.
Itulah suasana yang diceritakan Masitah Drani, 46, ibu kepada seorang anak autisme, Saiful Sulhi Rozuwan, 10, ketika anak bongsunya melalui proses kedewasaan dalam majlis berkhatan Sunathon Perdana 2017 bagi Dun Sementa yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Abdul Samad, di sini semalam.
Menurutnya, pada mulanya dia dan suami, Rozuwan Abu Seman, 47, khuatir Saiful Sulhi akan mengamuk dan menangis ketika dalam bilik berkhatan.
"Memang kami risau apatah lagi ketika waktu menunggu giliran, dia sudah gelisah dan tunjuk protes walaupun dia tidak tahu apa itu berkhatan.
"Kami cuba menenangkannya dengan membawa jauh dari tempat menunggu yang dipenuhi orang ramai dan memujuknya dengan membeli air milo," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kebiasaannya ketika di rumah sudah menjadi perkara biasa bagi anak istimewa sepertinya akan mengamuk apabila ada sahaja perkara yang tidak kena.
"Memikirkan dia sudah berusia 10 tahun, saya dan suami bersetuju untuk membawanya berkhatan.
"Alhamdulillah, apa yang kami risaukan sudah selesai dan proses itu berlangsung dengan sempurna," katanya.
Menurutnya lagi, anak bongsunya itu dikesan mengalami autisme ketika dia berusia dua tahun.
"Ketika dia berusia empat tahun, dia boleh menyebut perkataan 'mama' dan 'papa' namun kini dia langsung tidak mampu bercakap apatah lagi memanggil gelaran itu.
"Walaupun begitu, kami tetap hantar dia ke sekolah bagi membolehkan dia bercampur dengan rakan-rakan istimewa lain, dia kini mengikuti kelas pendidikan khas di SK Abdul Samad di sini," katanya.
Saiful Sulhi adalah salah seorang daripada 80 kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan Sunathon Perdana 2017 bagi Dun Sementa anjuran bersama Pemuda Umno Bahagian Kapar, Koordinator Pembangunan Persekutuan Dun Sementa, JKKKP dan JPP Dun itu.
Ketua Koordinator, Azhar Ayob berkata, program berkhatan adalah percuma kepada peserta dan kesemua kos ditanggung sepenuhnya oleh Umno Dun Sementa.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment