1 kelas, 2 guru perlu penelitian

Thursday, December 28, 2017

1 kelas, 2 guru perlu penelitian

1 kelas, 2 guru perlu penelitian

pix: Zulfadhli Zulkifli

CYBERJAYA: Usaha menempatkan dua guru dalam satu kelas memerlukan perancangan rapi sebelum dilaksanakan kerana bakal membabitkan kos dan tenaga kerja yang tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata pelaksanaan itu adalah satu cadangan yang baik, tetapi ia perlu selari dengan kemampuan kerajaan ketika ini.

"Jika dilihat di beberapa negara maju memang ada dua guru dalam satu kelas tetapi realitinya berbeza di Malaysia kerana kita perlu memenuhi permintaan guru di sekolah terlebih dahulu.

"Sehingga kini, kita mempunyai lima juta murid dan 450,000 guru, jadi jika jumlah guru digandakan, ia memerlukan kira-kira sejuta warga pendidik dan ia memakan belanja yang sangat besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Program Kemahiran Bahasa Inggeris Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), di sini, hari ini.

Beliau mengulas saranan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak yang mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan memperuntukkan dua guru dalam satu kelas, selaras transformasi pembelajaran abad ke-21.

Pada majlis itu, seramai 15 pelajar cacat pendengaran dari Zhengzhou Institution of Technology, China menerima sijil pengiktirafan selepas berjaya menamatkan Program Kemahiran Bahasa Inggeris Cacat Pendengaran di LUCT selama enam bulan bermula awal Julai lalu menerusi Inisiatif One Belt One Road (OBOR) iaitu kerjasama dua hala membabitkan kerajaan Malaysia dan China.

Yang turut hadir, Naib Presiden Jenama, Kreativiti dan Pembangunan Bakat LUCT, Datuk Tiffanee Marie Lim, dan Pengerusi Kolej Penyelidikan Strategik OBOR LUCT, Prof Datuk Dr Chin Yew Sin.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dilaporkan berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan pelaksanaan dua guru dalam satu kelas selaras dengan keperluan proses pengajaran berikutan arahan pemansuhan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid menjelang 2019.

Ditanya mengenai pembantu guru yang pernah diusul pelaksanaannya sebelum ini, Sin Woon berkata pihaknya sudah melaksanakan projek perintis di beberapa sekolah seperti Melaka dan Kedah, namun ia belum dapat dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah seluruh negara kerana usaha ini memakan belanja yang sangat besar.

"Jangan kita asyik mahu ikut negara maju, tapi belum mampu untuk melaksanakannya, sebaliknya ikut kepada kemampuan kerajaan ketika ini dan jika peruntukan mencukupi ia boleh dilaksanakan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment