Jawatankuasa Khas Jenayah Siber ditubuhkan

Monday, November 20, 2017

Jawatankuasa Khas Jenayah Siber ditubuhkan

Jawatankuasa Khas Jenayah Siber ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dan dijalankan dengan lebih teratur terutama membabitkan siasatan dan pendakwaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber ini telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November lalu dan beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa berkenaan.

Katanya, jawatankuasa itu akan melaporkan secara terus kepada Kabinet berkaitan dengan penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan kes jenayah siber di negara ini.

"Ahli jawatankuasa itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; wakil Kementerian Dalam Negeri; Jabatan Peguam Negara ; Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM); Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC); Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA); Majlis Keselamatan Negara (MKN) ; Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Turut menganggotai jawatankuasa itu, ahli tambahan iaitu Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Salleh berkata, pada masa ini, tidak ada satu agensi khusus yang menerajui penguatkuasaan berhubung isu jenayah siber sedangkan jumlah kes yang dilaporkan semakin bertambah.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai jenayah siber seperti gangguan buli, gangguan seksual, ancaman, tindakan menakut-nakutkan serta penyalahgunaan maklumat, butiran atau gambar peribadi bagi tujuan penganiayaan dan untuk memalukan atau mengaibkan individu tertentu.

"Dari Januari hingga September lalu, SKMM telah menerima sebanyak 1,792 aduan berbanding tempoh yang sama pada 2016, sebanyak 804 aduan awam diterima manakala sebanyak 2,047 aduan dari Januari sehingga Ogos lalu membabitkan ancaman kepada sistem rangkaian," katanya.

Beliau menjelaskan mesyuarat Kabinet itu juga meluluskan fungsi bagi Jawatankuasa Khas Jenayah Siber sebagai pusat rujukan kepada Jemaah Menteri dalam urusan berkaitan jenayah siber selain bertindak memberikan khidmat nasihat berkaitan dasar dan strategi menangani dan membanteras jenayah siber dan memastikan perkongsian maklumat yang efisyen di antara agensi penguatkuasa.

Selain itu, jawatankuasa itu akan mengoptimumkan pelbagai sumber terutamanya kepakaran di antara agensi-agensi penguatkuasaan; mengkaji keperluan menilai semula undang-undang sedia ada bagi menentukan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan sesuai dengan perubahan teknologi maklumat; dan menyediakan laporan jawatankuasa untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Membanteras Penyalahgunaan Media Sosial akan digabungkan dengan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber memandangkan kedua-dua Jawatankuasa ini mempunyai tugas dan tanggungjawab yang hampir sama.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya dibentuk satu Jawatankuasa Bertindak yang diterajui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) ketika jawatankuasa itu melaksanakan fungsinya," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment