Iskarnival 2017 lebih istimewa

Thursday, November 16, 2017

Iskarnival 2017 lebih istimewa

Iskarnival 2017 lebih istimewa

ISKANDAR PUTERI: Iskarnival 2017 menjanjikan pengisian lebih istimewa kerana turut meraikan kejayaan Iskandar Puteri mencapai status sebagai sebuah bandar.

Program edisi keenam itu, mengandungi acara Iskarnival Kool di Puteri Harbour pada 25 dan 26 November serta Iskarnival Aktif di Kompleks Sukan EduCity pada 2 dan 3 Disember.

Iskarnival 2017 dianjurkan Iskandar Investment Berhad (IIB), UEM Sunrise Berhad dan Khazanah Nasional Berhad.

Pengarah Pelaburan Khazanah Nasional Berhad, K Selvendran, berkata Iskarnival bertujuan menggalakkan penyertaan komuniti tempatan dan akan terus mengetengahkan peluang mempromosi kegiatan kemasyarakatan.

Ia, katanya, antara usaha bersama ke arah mewujudkan persekitaran yang memberangsangkan.

"Tahun lalu, kita menyambut ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia, tahun ini kita akan meraikan satu lagi, iaitu Iskandar Puteri mencapai status bandar.

"Ia memberi dorongan dan momentum kepada Iskandar Puteri untuk terus membangun," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata Iskarnival Kool bakal mengetengahkan peluang dalam ekonomi kreatif yang serba baharu untuk komuniti tempatan.

Ia juga, katanya, akan mempamerkan bakat yang digilap di Iskandar Malaysia sejak penubuhannya 10 tahun lalu.

"Iskarnival Kool bakal menggalakkan lebih banyak percambahan idea dan menggalakkan penghayatan kekayaan budaya serta warisan Johor.

"Pengunjung juga dapat melihat kisah di sebalik perkembangan Iskandar Puteri menerusi pembentukan ciri dan identiti kawasan berkenaan, selaras matlamatnya menjadi hab kreativiti serta inovasi.

"Karnival ini turut dijadikan platform untuk mempamer dan berkongsi idea mengenai pemerkasaan komuniti dan kehidupan yang lebih baik untuk bakat dan inisiatif tempatan," katanya.

Katanya, menerusi lebih 15 tapak acara, 1,005 bakat tempatan dari seluruh Malaysia dengan sekurang-kurangnya 50 peratus warga Johor, festival itu platform terbaik untuk penggiat serta penggerak pelbagai industri.

"Industri berkenaan seperti muzik, seni tampak, makanan dan minuman, teknologi, warisan sumber serta pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Katanya, pengunjung juga akan dihiburkan penyanyi terkenal tanah air, termasuk Datuk Sheila Majid, Yuna, Alleycats, Datuk Zainal Abidin dan Joe Flizzow.

Iskarnival Aktif akan turut diisi kejohanan ragbi tujuh sebelah, Iskandar Puteri Sevens yang pertama kali diadakan, selain kategori veteran.

Selain itu, pertandingan 'kick boxing', Iskarnival K1 International yang menampilkan peserta dari Brazil, Amerika Syarikat, Jepun, Thailand dan Malaysia.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment